Tidak kira Pas atau Parti Amanah Nasional (PAN) yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar, rakyat di Parlimen itu harus menolak kedua-duanya dan memilih UMNO yang konsisten mendaulatkan Islam semenjak merdeka.
Demikian tegas Ketua Penerangan UMNO Selangor Datuk Zein Isma Ismail mengulas persediaan BN menghadapi PRK Sungai Besar 18 Jun ini.
Menurutnya, Pas dan PAN selama ini hanya berselindung dengan nama Islam kononnya mereka sahaja yang lebih Islam dan mampu menegakkan syiar Islam, tetapi kini jelas menunjukkan mereka ini hanya mahu kedudukan dan kuasa semata-mata.
“Kita tahu PAN adalah serpihan daripada Pas. Sebab apa mereka ini berpecah pun kita tahu kerana berebut kuasa sesama sendiri. Rakyat kena sedar bahawa kini kuasa telah menjadi agenda utama mereka.
“Berbanding dengan UMNO bersama BN yang sejak merdeka telah memartabatkan, memakmurkan dan mendaulatkan Islam seterusnya memajukan ummah. Sudah terang lagi bersuluh kepada pengundi untuk memilih BN pada PRK Parlimen Sungai Besar nanti,” katanya kepada Selangorpost.
Tambah Zein, BN akan memberi fokus kepada kekuatan sendiri daripada memikirkan pertelagahan parti musuh yang sehingga sekarang masih berebut untuk meletakkan calon bertanding.
“Tidak timbul 1 lawan 1 atau pertembungan 3 penjuru. Kita telah bersiap sedia untuk menghadapi Pas atau Pas dan Pan dalam PRK ini. Kita yakin rakyat tidak terpedaya dengan dakyah mereka yang menggunakan agama untuk meraih undi,” katanya dengan bersemangat.
Katanya, rakyat Selangor boleh lihat apa yang terjadi dengan Pas dan PAN sekarang.
“Pas yang bukannya dalam Pakatan Harapan masih menjadi Exco dalam kerajaan negeri kelihatan sukar untuk menegakkan Islam seperti mencegah kemungkaran dan maksiat yang semakin berleluasa.
“Kita tengok pusat maksiat semakin menjadi-jadi di Selangor. Ia tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Rumah urut bersepah di Selangor sehinggakan pekan-pekan kecil pun boleh didapati.
“Apatah lagi dengan pusat mesin slot perjudian yang tiada pemantauan dari pihak berkuasa tempatan. Berapa ramai orang melayu telah terjebak dengan perjudian ini sehingga merosakkan diri dan institusi keluarga,” katanya.
Zein yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang menegaskan bahawa jentera Barisan Nasional telah pun bersiap sedia untuk menghadapi PRK pada 18 Jun ini.
Katanya, BN akan berkempen habis-habisan untuk mempertahankan kerusi Parlimen ini yang disandang Allahyarham Datuk Noriah Kasnon pada pilihanraya umum lalu.
“BN telah lama bersedia dan kita sentiasa bekerja untuk rakyat sejak pilihanraya umum lalu.
“Saya harap semua parti kompenen BN bekerja dalam satu pasukan demi memastikan kemenangan dapat diperolehi,” katanya lagi. - SELANGORPOST