Thursday 10 March 2016

Najib Tidak Bersalah Dalam Isu Dana RM2.6 Bilion, SRC International - Azalina




KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa wang RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pengesahan itu berdasarkan kepada siasatan SPRM melalui keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan kepada SPRM.

"Berhubung siasatan kes RM2.6 bilion, keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan, SPRM mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada Perdana Menteri secara peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi," katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang bertanya apakah hasil siasatan dan syor dibuat oleh SPRM kepada Peguam Negara dalam siasatan kes RM2.6 bilion dan RM42 juta dari SRC International.

Azalina berkata berkaitan SRC International pula, pihak SPRM telah menyatakan bahawa hasil siasatan mereka tidak menunjukkan bahawa Perdana Menteri telah melakukan sebarang perbuatan rasuah.

"Berdasarkan keseluruhan fakta dan keterangan, Peguam Negara berpuas hati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Perdana Menteri berkaitan kes-kes tersebut," katanya.

-- BERNAMA