Friday 11 March 2016

Baik Lah Bertukar Dari PERKASA Kepada PERKADAP

mna


Siapa yang tidak mengenali Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) yang diketuai oleh “Raja Katak Malaysia” Datuk Ibrahim Ali. Penubuhannya pada tahun 2008 sebenarnya adalah bertujuan untuk membela nasib orang-orang Melayu supaya tidak sewenang-wenangnya dipermainkan oleh kaum lain di Malaysia.
Malah pernah dalam satu ceramah, Ibrahim Ali pernah berkata bahawa mereka sentiasa akan ada dibelakang UMNO dalam memperjuangkan nasib Melayu di Malaysia hari ini. Tegasnya, PERKASA tidak akan sesekali bersekongkol dengan mana-mana pihak terutamanya DAP yang dilihat begitu giat mahu menghancurkan perpaduan kaum Melayu di Malaysia.


Malah, beliau turut memberi bayangan bahawa PERKASA tidak akan sesekali melangkaui UMNO samada mahu menubuhkan parti politik baru mahupun menderhaka kepada pucuk pimpinan parti. Itulah kata-kata penuh retorik yang disampaikan oleh Datuk Ibrahim Ali satu ketika dahulu.
Namun kini, skripnya sudah bertukar. Hanya semata-mata terpengaruh dengan Tun Dr Mahathir Mohamed yang begitu hebat menyerang kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib, PERKASA hari ini meninggalkan apa yang dilafazkan oleh Ibrahim satu ketika dahulu.
Ibrahim kini lebih berminat untuk bersama-sama dengan Tun M untuk melihat kehancuran UMNO menerusi serangan yang tidak henti-henti. Malah, Ibrahim Ali sendiri sanggup menggadaikan maruahnya untuk menyertai majlis Deklarasi Rakyat yang diadakan minggu lalu, walaupun beliau tidak menurunkan tanda tangannya di petisyen berkenaan. Samada benar atau tidak, itu tidak dapat dipastikan.


Lebih mengharukan, Ibrahim juga kini tanpa segan silu bermesra dengan orang yang pada satu ketika dahulu paling dibencinya iaitu Penasihat Agung DAP, Lim Kit Siang. Bukan satu, tetapi banyak gambar menggambarkan betapa mesranya mereka kini, hanya semata-mata berkongsi satu matlamat dan nafsu politik yang mahu melihat kejatuhan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Tanpa beliau sedari, kewujudan PERKASA sejak dari tahun 2008 sehingga tahun lalu, kesemua dana adalah hasil daripada sumbangan UMNO untuk melihat PERKASA mampu berdiri teguh sebagai salah satu NGO yang memperjuangkan suara orang-orang Melayu di Malaysia. Namun kini, hanya bersandarkan kepada Tun M, mereka mengkhianati sendiri orang yang banyak menyumbangkan dana untuk membangunkan PERKASA.
Hebat bukan permainan Ibrahim Ali dan PERKASA. Semalam membuktikan betapa ramai dikalangan ahli PERKASA sudah mulai bosan dengan sikap hipokrit Ibrahim Ali dalam menentukan hala tuju PERKASA. PERKASA Klang, semalam, dilaporkan telah membubarkan terus PERKASA disana dengan kesemua ahli PERKASA telah menggunting kad keahlian mereka tanda keluar daripada PERKASA.


Jadi jelaslah disini bahawa, PERKASA yang kita kenali sebagai pejuang suara Melayu satu ketika dahulu, kini sudah boleh dikenali sebagai Persatuan Peribumi PERKASA-DAP (PERKADAP). Hilang sudah nilai intergriti dan kredibiliti PERKASA dalam memperjuangkan suara Melayu di Malaysia. Apa yang ada kini, kemungkinan perjuangan PERKADAP adalah untuk kesamarataan kaum, sesuatu yang begitu kuat ditentang PERKASA satu ketika dahulu.