Datuk Seri Najib meminta menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi respon terlebih dahulu tentang kenyataan balasnya terhadap tuduhan kerajaan Barisan Nasional (BN) menjual sebuah bangunan konsulat di Hong Kong.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan BN di bawah pentadbirannya sebelum ini tidak pernah mahu menjual aset negara di Hong Kong seperti yang dilakukan Pakatan Harapan (PH).
“Dia (Guan Eng) perlu balas kenyataan saya, takkan lah kita je nak komen. Saya tahu apa yang kerajaan BN dulu buat. Saya boleh berikan komen lagi tapi Guan Eng kena jawab dulu,” katanya di Parlimen, Khamis.
Menurut Najib, pentadbirannya sebelum ini hanya membangunkan bangunan pejabat setinggi 28 tingkat di kawasan Wan Chai, Hong Kong itu.
Guan Eng sebelum ini mendedahkan keputusan untuk menjual sebuah bangunan konsulat di Hong Kong dilakukan ketika pentadbiran lalu.
Katanya, pentadbiran BN memutuskan untuk menjual aset berkenaan iaitu bangunan konsulat secara rundingan terus pada harga RM1.1 bilion.
“Keputusan menjual bangunan ini dibuat kerajaan BN kerana pada masa itu mereka tidak dapat tampung kos pembaikan sebanyak RM300 juta.
“Mereka buat keputusan jual dan buat rundingan terus dengan sebuah syarikat Malaysia dengan harga RM1.1 bilion.
“Apabila kita (Pakatan Harapan) ambil tampuk pemerintahan, kita rasa ia tidak seharusnya dibuat secara rundingan terus kepada syarikat ini,” kata Guan Eng sebelum ini.
Februari lalu, sebuah akhbar yang memetik laporan Ming Pao mendedahkan Kumpulan Evergrande China dalam perbincangan untuk membeli bangunan milik kerajaan Malaysia di Hong Kong.
Kerajaan merancang untuk menjual bangunan 28 tingkat itu pada harga kira-kira RM1.61 bilion.