Wednesday 9 March 2016

Gerakan PakaTUN Anggap Main-Main Rancangan Cuba Culik Pemimpin Negara


Kumpulan penentang dan anti-Najib melakukan apa sahaja untuk menjadikan setiap kejadian satu kesalahan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ia ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan cara paling keji sekali.
Sudahlah membuat dakwaan demi dakwaan tanpa bukti yang kukuh apa sahaja langkah atau yang diperkatakan para pemimpin kerajaan juga sudah dipusing dan diputarbelit oleh mereka.
Terkini, semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa kerajaan mengesan ada rancangan pihak militan IS di negara ini mahu menculik Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan diri beliau sendiri.
Bagaimanapun, kerana kecekapan polis perancangan itu semua berjaya dipatahkan dan mereka yang ada kaitan dengan militan berkenaan telah ditangkap.
Seorang blogger pro-Dr Mahathir dilihat mempersendakan pendedahan Ahmad Zahid itu dengan menghimpunkan reaksi negatif pengguna laman sosial di laman Facebook miliknya berkaitan pendedahan berkenaan.
Oleh kerana kumpulan inilah, hasutan dengan niat mewujudkan kebencian rakyat kepada kerajaan menjadikan rancangan serius seperti ini diperlekehkan oleh segelintir netizen yang memihak kepada sikap Dr Mahathir.
Seandainya, berlaku kejadian culik itu. Mereka akan menyalahkan pula kerajaan khususnya pihak berkuasa dengan dakwaan tidak menjalankan tugas sehingga terjadinya kes penculikan itu.
Usah membuat helah dan drama lagi, ada kemungkinan artikel ini akan menjadi bahan para netizen pro-Dr Mahathir menghentam pru14.tv tapi rata-rata sebahagian besar rakyat sudah mengetahui isi dalam hati dan baik buruk kumpulan ini.

Jika tidak, masakan diri mereka sahaja yang bersungguh-sungguh memerangi Najib padahal Dr Mahathir sampai hari ini membisu selepas sahaja menandatangani Deklarasi Rakyat : Selamatkan Malaysia Jumaat lepas.
Sudahlah gerakan deklarasi itu hambar, kumpulan itu kini tiada modal untuk menyerang Najib dengan isu besar sehinggakan perkara serius seperti ini boleh dituduh sebagai satu cerita rekaan demi untuk mengalih tumpuan rakyat kepada isu lain.
Pujian harus diberikan kepada pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertungkus-lumus siang dan malam 24 jam memastikan keadaan negara selamat dari sebarang ancaman.
Bukan sahaja keadaan negara selamat, bahkan pemimpin negara juga selamat dan boleh menjalankan tugas seperti biasa.