IPOH: Kerajaan Perak akan menggerakkan semula Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) sebagai badan penasihat negeri bagi menghadapi cabaran ekonomi yang berada dalam ketidaktentuan akibat faktor luar.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada MTEN yang bersifat 'rolling plan' dengan memberi fokus kepada pembangunan bermula tahun depan.
"Ia membabitkan sektor perumahan dengan sebahagian besar perumahan rakyat, melengkapkan rangkaian infrastruktur kawasan perindustrian, menangani kos sara hidup rakyat dan galakan pelancongan sempena Tahun Melawat Perak 2017," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Negeri Perak 2017 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini sebentar tadi. Zambry berkata, Perak menyediakan bajet RM1.2 bilion dengan sejumlah RM806.28 juta atau 66.7 peratus untuk perbelanjaan pengurusan manakala RM401.77 juta atau 33.3 peratus untuk pembangunan.
Katanya, ia akan dibiayai oleh anggaran hasil dan terimaan pembangunan berjumlah RM1.07 bilion dengan anggaran defisit RM129.68 juta.
"Peningkatan anggaran defisit yang agak besar ini disebabkan peruntukan 'rolling plan' kepada MTEN sebanyak RM100 juta, sekiranya tidak mengambil kira caruman ini, defisit belanjawan adalah sekitar RM29.68 juta," katanya.
Zambry berkata, kerajaan negeri juga akan melaksanakan pemberian bantuan khas kepada penjawat awam negeri sebanyak RM500 seorang yang berjumlah keseluruhan RM4.1 juta dibayar bulan depan, selaras dengan pengumuman Bajet 2017 kerajaan Pusat.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan memberikan pengecualian sepenuhnya terhadap tujuh caj yang perlu ditanggung pemaju khusus bagi pembangunan rumah kos rendah yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun depan sehingga 31 Disember 2018.