KUALA LUMPUR - Sikap ahli parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat semasa pembentangan Bajet 2017 secara jelas menggambarkan bahawa mereka ini langsung tidak menghormati pengundi mereka sekaligus mengaibkan sistem berparlimen.
Beberapa pemerhati muda termasuklah peserta Program Internship Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap) turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap pembangkang itu.
Syarifudin Rahim 23, peserta Mantap 6 berkata, pembangkang seharusnya menghormati proses demokrasi yang ada.
“Melihat sendiri perangai pembangkang jelas memberikan satu gambaran yang tidak baik kepada kami orang muda. Mereka katakan Bajet 2017 tidak realistik tetapi sebenarnya sikap mereka yang tidak realistik.
“Mereka diberi peluang untuk berbahas pada minggu ini mereka tetapi tidak menggunakan hak yang ada. Keluar dari dewan menunjukkan kredibiliti mereka sebagai seorang pemimpin itu adalah kurang memuaskan dan mereka hanya mahu menyemaikan politik kebencian di hati orang ramai,” katanya kepada UMNO-Online.
Seorang lagi peserta Mantap 6, Muhammad Husim Hassan 23, tindakan pembangkang itu adalah satu sikap yang tidak melambangkan seorang pemimpin dan amat tidak professional.
“Dewan sudah memberikan platform untuk berbahas tapi sikap mereka amat mengecewakan khususnya di parlimen yang diwakili. Mereka juga menunjukkan poster yang tidak ada kaitan.
“Bagi saya bajet yang dibentangkan pula secara total adalah realistik dan memberi manfaat kepada kebanyakan golongan terutamanya yang tidak berkemampuan. Contohnya sebagai pelajar, kad siswa itu sesuatu yang baik kerana bagi menangani penyalahgunaan baucer buku yang digunapakai sebelum ini,” katanya.
Pemerhati muda politik di parlimen Iliyas Muhammad Isa, 25, turut melahirkan rasa kecewa kerana nilai profesionalisme dirosakkan oleh pembangkang yang bergelar wakil rakyat.
“Tidak wajar mereka meninggalkan dewan begitu sahaja. Secara umumnya mereka boleh bahas selepas pembentangan.. mengapa perlu keluar. Mereka adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat tetapi mereka jelas tidak professional,” ujarnya.
Seorang lagi pemerhati muda politik yang juga bekas peserta Mantap 5, Muhammad Amisyarkim Sariman 23, berkata, Bajet 2017 adalah satu bajet yang menyeluruh malah tidak melupakan golongan muda. Insentif-insentif untuk anak muda amat menggembirakan kerana ia adalah langkah progesif daripada kerajaan untuk terus mensejahterakan kehidupan rakyat Negara ini.
“Namun sikap wakil rakyat pembangkang amat mengecewakan saya. Anak-anak muda sebagai pemerhati dan bakal pengundi dapat menilai sikap sebenar mereka yang amat tidak professional ini.
“Mereka seakan sengaja memulakan provokasi dan bagi saya ia satu satu fenomena yang agak samseng,” terangnya. – MediaUMNO