KUALA LUMPUR – Agenda Deklarasi Rakyat ilham Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Perdana Menteri memasuki fasa baru apabila beliau cuba melibatkan Raja-Raja Melayu dalam kancah politik.
Dr Mahathir secara terbuka menuduh kerajaan menghalang beliau berjumpa dengan Yang Di-Pertuan Agong untuk menyerahkan memorandum mengandungi lebih sejuta tandatangan menyokong Deklarasi Rakyat.
“Saya cuba untuk bertemu mereka (Agong) untuk menunjukkan Deklarasi Rakyat, tetapi sehingga kini, saya tidak boleh membuat temujanji bermakna Agong dikurung di istana mereka,” katanya.
Tuduhan beliau walaubagaimanapun tidak menyatakan sebarang bukti bahawa kerajaan menghalangnya untuk bertemu dengan pihak istana atau mana-mana Raja Melayu.
Dr Mahathir dikatakan ingin menyerahkan dokumen Deklarasi Rakyat yang mengandungi 1.27 tandatangan rakyat Malaysia kepada YDP Agong untuk meminta budi bicara memecat Perdana Menteri.
Namun, tindakannya itu dilihat sebagai sia-sia ekoran Agong tidak mempunyai kuasa untuk memecat Perdana Menteri.
Perkara tersebut disahkan oleh Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Agus Yusof berkata YDP Agong hanya mempunyai budi bicara untuk melantik Perdana Menteri berdasarkan sokongan majoriti ahli Parlimen.
“Jadi ahli politik yang meminta supaya Yang Dipertuan Agong bertindak memecat Perdana Menteri, saya nasihatkan teliti dahulu prosedur pemecatan Perdana Menteri sebelum mengeluarkan kenyataan supaya kenyataan itu tidak berbentuk sensasi,” kata Agus. – mD