KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur melihat bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini bukan sahaja menepati sasaran malah amat tepat sekali dengan mengambil kira masyarakat dan rakyat di akar umbi secara menyeluruh.
Justeru beliau yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti tidak pelik dengan pelbagai tohmahan yang dilontarkan oleh pelbagai pihak khususnya kalangan parti pembangkang kerana mereka sebenarnya gusar dan khuatir dengan kejayaan pelaksanaan Bajet 2017 itu kelak.
“Ini memang kerja pembangkang, kalau mereka serang bajet maknanya bajet itu baik untuk rakyat dan ini sudah pasti gusarkan mereka. Mereka sebenarnya kehilangan isu sebabnya bajet yang dibentangkan pada tahun ini amat tepat sekali dan menepati sasaran dan ini ditakuiti oleh pembangkang. Bajet ini bila-bila masa boleh dilakukan dan bergantung kepada keperluan semasa.
“Lagi pula Bajet ini sesuai dalam keadaan dan situasi hari ini memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu, harga barang dan rakyat merasai sedikit tekanan maka bajet ini amat sesuai sekali dengan mengambil kira faktor semasa.
“Dan perlu ditekankan Bajet 2017 ini sampai kepada peringkat bawah secara langsung . Kerajaan telah menumpukan usaha yang berterusan kepada rakyat biasa. Di Sabah kami gembira ESSCOM terima RM323 juta tahun depan untuk tingkatkan keberkesanan ESSCOM untuk jaga pantai timur dan ianya cukup besar.
“Saya juga gembira kerajaan telah memperuntukkan RM230 juta untuk projek bekalan air luar bandar di seluruh luar bandar Sabah. Luar bandar masih hadapi masalah air yang memerlukan air bersih dan tumpuan seperti ini baik sekali. Peruntukan ini jelas untuk kepentingan rakyat dan inilah ditakuti oleh pembangkang,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Beliau seterusnya menegaskan rakyat memerlukan pembelaan dan perhatian sewajarnya daripada kerajaan dan tentunya Bajet 2017 yang dibentangkan baru-baru ini telah mengambil kira pelbagai aspek dan faktor lain secara menyeluruh.
“Biarlah pembangkang melabelkan apa jua nama bajet ini kerana yang penting kesannya amat baik kepada akar umbi terutama penduduk luar bandar yang memerlukan tumpuan seperti ini,” ujarnya.-mediaumno