Monday, 10 July 2017

Lebih 100 Tadika KEMAS Perlu Dinaik Taraf Keselamatan Dan Kemudahan


Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengenal pasti lebih 100 tadika di seluruh negara yang perlu dinaiktaraf berikutan aspek keselamatan dan kedaifan kemudahan. 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, ada tadika terpaksa menumpang di balai raya atau menyewa bangunan lain. 

Katanya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memohon peruntukan RM46 juta daripada Kementerian Kewangan tahun lalu dan RM8 juta sudah diluluskan. 

"Peruntukan itu digunakan sepenuhnya di 1,229 kelas membabitkan 220,000 kanak-kanak di seluruh negara. 

"Selain bangunan tidak selamat, ada isu lain seperti bekalan elektrik dan naik taraf kemudahan bagi memberi keselesaan serta kelancaran pembelajaran prasekolah. 

"Kita mengadakan program anak angkat bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tahun lalu dan berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM2.4 juta," katanya pada sidang media Majlis Aidilfitri KEMAS di sini, hari ini. 

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat, Datuk Amiruddin Ariffin. Sementara itu, Ismail Sabri berharap Kementerian Kewangan melihat fungsi dan kepentingan tadika KEMAS selaras dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50). 

"Tadika KEMAS dinobatkan sebagai Anugerah Emas Jenama Paling Dipercayai Asia 2017 (Kategori Prasekolah) oleh Reader's Digest. "Ia membuktikan tadika KEMAS masih relevan dan sumbangannya bernilai kepada masyarakat," katanya.