Kehebatan pemimpin UMNO bukan datang daripada diri mereka semata-mata sebaliknya datang daripada sokongan anggota peringkat akar umbi parti, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti itu berkata pemimpin UMNO perlu sedar kedudukan dan jawatan dipegang mereka hari ini adalah suatu amanah yang diberikan anggota peringkat akar umbi parti.
"Kita pemimpin UMNO ada atas pentas ini kerana di bawah (anggota akar umbi) sokong kita. Kerana yang bawah yang atas ini jadi hebat.
"Jadi bila ada di atas ini, kena tahu lah kehebatan itu bukan kerana diri kita semata-mata tetapi kerana sokongan akar umbi kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jasin di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Ahli Dewan Negara, Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan kira-kira 1,000 anggota UMNO Bahagian Jasin. - Bernama