KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata satu garis panduan khusus dan kod khas pendaftaran kes berkaitan jenayah siber akan dibentuk dalam tempoh terdekat dalam usaha memastikan kelancaran dan kecekapan operasi Mahkamah Khas Siber.
Beliau berkata Mahkamah Khas Siber yang memulakan operasi pada hari ini juga perlu dilengkapi dengan kemudahan internet tanpa wayar (wifi), projektor, komputer riba dan komputer meja bagi memudahkan urusan perbicaraan melibatkan kes-kes jenayah siber.
Sehubungan itu beliau meminta pihak pengurusan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur mengemukakan permohonan untuk melengkapkan kemudahan fizikal di Mahkamah Khas Siber itu.
“Terpulang kepada pihak mahkamah… lagi cepat kemukakan permohonan lagi cepat kita sediakan kelengkapan itu. Mahkamah ini juga perlukan ‘internet protocol domain’ (IP) sendiri.
“Saya tidak mahu nanti apabila hakim mengendalikan sesuatu kes itu tiba-tiba (sistem) terganggu sebab penggunaan jalur lebar yang terhad,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Mahkamah Khas Siber di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini hari ini.
Mahkamah Khas Siber yang ditubuhkan dengan persetujuan kabinet itu bertujuan membantu badan perundangan dan penguatkuasaan mengurangkan kadar jenayah berkaitan siber di negara ini.
Azalina berkata Mahkamah Khas Siber itu akan mengendalikan dua jenis kes iaitu sivil dan jenayah oleh hakim Mahkamah Sesyen yang berpengalaman dengan gred sekurang-kurangnya Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C.
Oleh itu, katanya seramai 27 orang hakim dari seluruh Malaysia telah mengikuti kursus khas berkaitan jenayah siber di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Katanya kursus yang dikendalikan bersama pakar-pakar dalam dan luar negara itu telah diadakan pada 27 dan 28 ogos lepas.
“Untuk mengendalikan kes-kes berkaitan siber, hakim, pihak pendakwaan dan peguam bela juga perlu mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang siber, ini penting untuk penyelesaian segera kes,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini Mahkamah Khas Siber hanya ditubuhkan di Kuala Lumpur dan belum ada perancangan untuk meluaskannya ke negeri-negeri lain.
Katanya, dari 2014 hingga kini terdapat 93 kes sivil dan 10 kes jenayah berkaitan siber. -MediaUmno