Tuesday 2 February 2016

WHO Isytihar Amaran Antarabangsa Penularan Zika




GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan amaran antarabangsa berikutan penularan virus Zika bawaan nyamuk, yang dikaitkan dengan kecacatan kelahiran di Amerika.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) itu mengadakan mesyuarat tergempar pakar bebas di Geneva untuk menilai wabak berkenaan selepas menyedari kaitan mencurigakan antara ketibaan Zika di Brazil tahun lalu dan peningkatan bilangan bayi yang dilahirkan dengan kepala yang kecil.

Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan, berkata selepas mengkaji semula bukti, jawatankuasa mendapati kelompok microcephaly dan komplikasi neurologi lain adalah peristiwa yang luar biasa dan turut dianggap ancaman kesihatan awam di bahagian lain dunia.

WHO menganggarkan mungkin terdapat hingga empat juta kes Zika di benua Amerika tahun hadapan, tetapi tiada cadangan dibuat untuk menyekat perjalanan atau perdagangan.

"Adalah penting untuk memahami, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil wanita hamil. Jika anda boleh menangguhkan perjalanan dan ia tidak menjejaskan komitmen keluarga, ia sesuatu yang boleh mereka dipertimbangkan," kata Chan.

Tambahnya, jika perlu melakukan perjalanan, mereka boleh mendapatkan nasihat daripada doktor dan mengambil langkah perlindungan peribadi, seperti memakai baju berlengan panjang dan seluar panjang serta menggunakan ubat nyamuk. - AP