Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Keputusan tersebut dibuat selepas pendakwaraya berjaya menunjukkan wujud prima facie dalam kes tersebut.
Antara alasan yang diberikan adalah bahawa Rafizi terbukti mempunyai dan mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara setebal 98 muka surat mengenai siasatan ke atas 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB) yang masih diklasifikasikan di bawah OSA.
“Pandangan saya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Zulkarnain Hassan.
“Berdasarkan kepada posting di laman web Rafizi, laman Facebook beliau serta (laporan) unit forensik komputer Bukit Aman; mahkamah telah meneliti laman web Rafizi dan adalah jelas bahawa beliau menyatakan serta melampirkan halaman laporan audit 1MDB yang masih belum dibentangkan.
“Terdapat juga sidang media pada 24 Mac dan ini telah direkodkan dan rakaman video itu dimainkan di mahkamah.”
Rafizi menghadapi dua pertuduhan di bawah OSA kerana mendedahkan dokumen sulit yang kononnya mengaitkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan 1MDB di lobi Parlimen 24 Mac lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 8 (1) (c) (iii) akta berkenaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
Rafizi juga didakwa mengikut Seksyen 8 (1) (c) (iv) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun maksimum, jika sabit kesalahan