Tuesday 2 February 2016

Perodua Tidak Naikkan Harga, Kenapa Pula Proton Yang Naik?

images (1)

Disaat rakyat negara ini kian terhimpit dengan pelbagai kenaikan harga barang terutamanya keperluan asas, secara tiba-tiba, Perusahaan Otomobil Nasional berhad (PROTON) mengumumkan kenaikan harga kereta antara RM 312 hingga RM 2021 bermula 15 Februari ini. Kenaikan ini dikatakan kerana kelemahan Ringgit di pasaran global sehingga menjejaskan kos operasi mereka.
Dalam satu kenyataan, pihak PROTON memberitahu, kebanyakan harga komponen kereta mereka adalah berdasarkan kepada nilai tukaran asing sehingga menjejaskan rantaian eko-sistem operasi. Malah, menurut PROTON, walaupun telah melakukan pengurangan kos dan rasionalisasi, namun penyusutan nilai Ringgit nyata menghimpit syarikat berkenaan sehingga menjejaskan keuntungan syarikat.

images (16)

Menurut seorang pemerhati, pengumuman PROTON ini sebenarnya adalah suatu yang diluar jangka. Apa tidaknya, sejak hampir 15 tahun lalu, PROTON dengan bangganya mengumumkan kereta keluaran mereka adalah hasil daripada sentuhan anak tempatan samada dari segi pembuatan sehingga komponen-komponen kenderaan itu sendiri.
Malah, teknologi LOTUS yang diambil mereka sebelum ini telah di implimentasikan kedalam enjin CAMPRO mereka dimana hampir keseluruhan komponen ini adalah hasil daripada bahan tempatan sepenuhnya. Ini yang diwar-warkan oleh PROTON sejak sekian lama. Malah, pada penghujung 2014, PROTON dengan bangga mengumumkan bahawa semua kereta mereka kecuali Inspira adalah 99 peratus hasil tempatan, bukan diimport.
Di sinilah timbul persoalan, dimana rasionalnya PROTON meletakkan alasan kenaikan mereka kepada keadaan Ringgit sekarang. Berbanding Perodua, mereka adalah syarikat yang dijangka paling teruk terjejas berikutan kelemahan Ringgit hari ini.

images (2)

Perodua, seperti sedia maklum merupakan sebuah syarikat tempatan yang menjalinkan kerjasama dengan dua buah syarikat automotif utama Jepun iaitu Toyota dan Dihatsu. Perkongsian ini meliputi pembinaan enjin, chasis kenderaan dan teknologi yang digunakan oleh Toyota dan Dihatsu. Ada yang mengatakan, Perodua adalah “salinan” terhadap Toyota mahupun Dihatsu
Namun, sehingga artikel ini ditulis, Perodua masih tidak menaikkan harga kereta mereka dan langsung tidak menjadikan alasan kelemahan Ringgit sebagai punca utama kemerosotan mereka. Adakah PROTON berbeza dengan Perodua dalam konteks ini?
Dalam keadaan sekarang, disaat kelemahan ekonomi global yang sedikit sebanyak menjejaskan Malaysia, tindakan PROTON menaikkan harga kereta ini tidak wajar berlaku. Rakyat Malaysia hari ini lebih bijak dalam menilai keperluan hidup. Apa yang pasti, walaupun kenaikan itu dianggap PROTON sebagai minima, namun pastinya kenaikan ini menjejaskan jualan kereta nasional berkenaan pada tahun ini.

images

Dengan pelbagai isu seperti kualiti dan after sale mereka masih menjadi sebutan, langkah ini pastinya akan menjauhkan rakyat Malaysia dari PROTON kerana PROTON hari ini bukan lagi menjadi kereta mampu milik rakyat Malaysia.