Hasrat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti baharu semata-mata untuk memastikan Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri hanya akan memecah-belahkan pembangkang.
Penganalisis politik, Tan Ah Chai ketika ditemu bual oleh China Press, berpendapat, sebagai parti baharu, ia tidak boleh mensasarkan perdana menteri sahaja malahan ia perlu memikirkan bagaimana bentuk kerjasama dengan pembangkang bagi mencapai impian untuk mengambil alih kuasa daripada BN.
"Deklarasi Rakyat yang diasaskan oleh Tun M sendiri jelas menunjukkan ia tidak memiliki sokongan yang ramai seperti yang dijangkakan. Walaupun ada sokongan daripada Pakatan Harapan dan pertubuhan bukan kerajaan, namun ia tidak mampu membangkitkan gelombang baru," katanya.
Beliau meramalkan dalam keadaan politik semasa ketika ini, parti baharu yang ditubuhkan Tun M itu akan menghadapi kesukaran untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain, terutama sekali dari segi pembahagian kerusi untuk PRU.
Manakala seorang lagi penganalisis politik, Datuk Cheah See Kian berkata, biarlah masa akan menentukan bagaimana Tun M boleh menggunakan imejnya untuk membentuk parti baharu.
"Kini sudahlah tiba masanya untuk pakatan pembangkang bergerak sebagai pasukan yang baru. Sekiranya ingin tubuh parti baharu dan ingin bekerjasama dengan parti pembangkang, Tun M perlu memastikan dalam PRU akan datang, pertembungan mestilah satu lawan satu dengan BN," katanya.
MCA kutuk kumpulan baju merah
Ketua Biro Keharmonian Kaum dan Agama MCA, Ti Lian Ker mengutuk kumpulan Baju Merah yang melakukan bantahan di ibu pejabat DAP, Kuala Lumpur, kelmarin.
Beliau berkata, kumpulan itu tidak boleh mengambil tindakan sendiri hingga menjejaskan ketenteraman awam.
“Walaupun Umno atau mana-mana kumpulan lain ada hak untuk membantah, ia perlu dibuat mengikut undang-undang.
"Kumpulan Baju Merah tidak sepatutnya dibenarkan bertindak liar dan melanggar undang-undang. Tidak ada justifikasi yang membenarkan reaksi terhadap kenyataan atau tindakan individu dibuat hingga mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sin Chew Jit Poh, semalam.
Beliau berkata, mereka yang turut serta dalam perhimpunan kelmarin patut sedar yang tindakan mereka boleh memberi imej negatif kepada kerajaan BN.
Beliau turut meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melakukan tindakan terhadap mana-mana individu yang tidak menghormati undang-undang dan pihak penguatkuasaan dalam insiden berkenaan.
Bagaimana pun, Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe pula meminta sebagai pemimpin dan wakil rakyat, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming tidak sepatutnya menggunakan isu perkauman sebagai bahan jenaka.
"Saya amat marah dan tidak puas hati terhadap tindakan Kor Ming ini. Saya harap pihak polis mengambil tindakan segera terhadap beliau untuk mengelakkan isu ini terus merebak," katanya.
Katanya, orang ramai perlu menolak ahli-ahli politik yang perlekehkan budaya dan adat resam kaum-kaum lain untuk digunakan sebagai bahan jenaka.