Tuesday, 7 June 2016

PRK Kuala Kangsar: Penduduk Ulu Kenas Dapat Dewan Berhawa Dingin - Zahid



KUALA KANGSAR: Penantian penduduk Ulu Kenas, Manong di sini untuk memiliki dewan serba guna berhawa dingin berakhir apabila projek pembinaannya diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kelulusan yang diberikan itu juga sekali gus menyelesaikan isu utama di kawasan berkenaan apabila penduduk menuntut kerajaan membina sebuah dewan baharu bagi menggantikan dewan lama yang hanya mampu memuatkan kurang 40 orang.
Permintaan penduduk sebelum itu disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manong, Datuk Mohd Kamil Shafie ketika berucap dengan meminta kerajaan meluluskan projek bernilai RM200,000 itu.
mStar Default Image
Ahmad Zahid ketika berucap berkata, beliau meluluskan serta-merta permintaan penduduk kerana menganggap permohonan tersebut sebagai perkara kecil.
"Permintaan penduduk yang mahukan dewan bernilai RM200,000 itu saya luluskan serta-merta. Ini perkara kecil sahaja, jangan dipanjangkan.
"Saya luluskan juga permintaan supaya dipasang penghawa dingin di dewan itu. Lagipun ini adalah keperluan penduduk," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama penduduk di Pusat Daerah Mengundi Ulu Kenas pada petang Selasa.
Dalam lawatan ke kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh turut sempat bertemu pengundi di bazar Ramadan Dataran Arena.
Beliau kemudian berbuka puasa bersama penduduk Kampung Senggang di Masjid Al-Ansar selain menyampaikan duit raya kepada anak yatim.
PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksi pertembungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Yazid; Ketua Muslimat PAS Perak, D Najihatussalehah Ahmad; Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah) dan calon bebas,  Izad Bukhary Ismail Bukhary
-mstar