KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kesetiaan dan ketaatan atau walak kepada kepemimpinan negara adalah jaminan keselamatan negara ini. Perdana Menteri berkata, tanpa kesetiaan dan ketaatan, akan wujud kumpulan yang mengkhianati negara seterusnya menggugat keselamatan rakyat.
Sehubungan itu, katanya, adalah penting adanya kesetiaan dan ketaatan. "Penting prinsip walak dan kesetiaan ini kerana segala kejayaan tidak mustahil tidak dapat dicapai, " katanya berucap pada majlis Jalinan Ramadan 2017 bersama pasukan beruniform anjuran Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdullah Jalil dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Perdana Menteri berkata, di dalam sejarah Islam perang Badar dan Uhud ada pengajaran kepada umat Islam mengenai prinsip walak dan kesetiaan itu.
Katanya, tentera Islam menang pada perang Badar walaupun ketika itu mereka berpuasa dengan jumlah angkatan yang lebih kecil berbanding musuh. "Berbeza dengan Perang Uhud pada bulan Syawal yang mana tentera Islam kalah kerana mereka tiada prinsip walak, tidak mendengar arahan Rasulullah dan sibuk berebut harta peperangan, " katanya.
Perdana Menteri turut mengambil contoh peristiwa pencerobohan kumpulan pengganas Sulu yang menyerang Lahad Datu yang turut menyebabkan 10 orang terbunuh angkara sekumpulan anggota keselamatan yang mengkhianati rakan seperjuangan mereka.
"Masih segar di ingatan pada 9 Februari 2013 apabila sekumpulan orang Sulu masuk ke Lahad Datu. Apa yang berlaku anggota kita sendiri mengkhianati dan memberi maklumat kepada musuh. "Jelas di sini apabila tiada walak dan kesetiaan ini, keselamatan kita akan tergugat dan terjejas, " katanya Najib berkata, beliau berterima kasih kepada pasukan keselamatan yang tetap setia dan taat terutama dalam memastikan keselamatan negara terus terjamin.
"Tanpa pengorbanan anggota keselamatan ini kita mungkin tidak dapat menikmati kemanisan Ramadan menunaikan ibadat puasa dan solat terawih di masjid dalam keadaan aman, " katanya. Beliau berkata, langkah pencegahan yang di ambil anggota keselamatan berjaya meletakkan Malaysia antara 30 negara utama daripada 164 negara dikategorikan sebagai negara yang aman.
"Keselamatan negara kini berhadapan dengan dua risiko ancaman iaitu ancaman geo-politik dan keselamatan. "Melihat kepada serangan di beberapa negara menjadikan saya takut. Alhamdulillah, setakat ini ia tidak berlakunya kerana pasukan keselamatan mengambil langkah pencegahan.," katanya. -