Monday, 12 June 2017

Najib Ingatkan Pengguna Media Sosial Sebarkan Berita Positif Mengenai Negara

Image result for NAJIB DAN MEDIA SOSIAL

YAB Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pengguna media sosial supaya menyebarkan berita-berita positif berkenaan negara dan bukannya terjebak dalam penyebaran cerita-cerita negatif.

Perdana Menteri berkata mereka seharusnya menggunakan pengaruh yang ada untuk membantu menyemai semangat cinta kepada negara kerana tanggungjawab sebagai pengguna media sosial itu besar dan mampu mempengaruhi masyarakat.

"Kuasa media sosial tidak boleh dipandang rendah. Lebih 20 juta rakyat kita merupakan pengguna media sosial dan saya percaya ini menjadikan media sosial satu platform penyebaran maklumat yang sangat efektif.

"Twitter, Facebook, Instagram dan banyak lagi platform lain, semuanya membenarkan kita mengemas kini status dan maklumat secara 'real time' (masa sebenar)," katanya pada majlis berbuka puasa #MariBerjumpaRamadan, di sini hari ini.

Catatan mengenai majlis itu dimuat naik menerusi laman blog beliau www.najibrazak.com.

Najib berkata melalui media sosial, beliau berupaya berinteraksi dan mendekati rakyat, lebih-lebih lagi orang muda yang rata-ratanya pengguna platform berkenaan, tanpa batas-batas protokol.

"Melalui program #MariBerhubung yang dilaksanakan sejak 2014, ramai pengguna dan nama-nama besar media sosial yang telah saya dekati ketika sesi-sesi santai di mana kami berbincang berkenaan isu-isu semasa dan mereka juga berpeluang untuk memberi pendapat serta maklum balas secara terus kepada saya," katanya.

Beliau juga yakin negara akan berjaya melahirkan sebuah masyarakat yang positif dan saling menyayangi jika semua pihak memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing di media sosial.

Majlis itu turut dihadiri rakan-rakan artis antaranya Datuk Aznil Haji Nawawi; selebriti media sosial Wak Doyok; pereka fesyen Fuzana Mokhtaza; pengasas Kilang Bateri di Johor, Johan Ropi; dan ikon-ikon Negaraku.

Tidak ketinggalan hadir sama aktivis masyarakat Kuan Chee Heng yang terkenal dengan usahanya membantu mereka yang tidak berkemampuan ke hospital menerusi perkhidmatan pengangkutan pada kadar 10 sen.

Pada majlis itu Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut meraikan 60 anak-anak dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).

"Anak-anak di SBJK, percayalah bahawa kerajaan akan terus komited untuk menjaga kebajikan anda semua. Insya-Allah saya dan keluarga akan doakan kejayaan anak-anak semua dunia dan akhirat," katanya.