Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, pelbagai dasar dan prinsip merentasi bidang utama kehidupan menjadi pegangan supaya Islam tidak disinonimkan dengan perkara negatif. Beliau berkata, negara ini tidak hanya mementingkan pembangunan kebendaan, sebaliknya pembangunan modal insan yang turut menjadi keutamaan dan penentu sebenar di sebalik kemajuan ekonomi dan sosial yang zahir.
Katanya, semua ini harus ditekuni sebagai manifestasi penghayatan ajaran al-Quran yang menganjurkan kemakmuran bersepadu duniawi dan ukhrawi. Mengambil contoh penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa kali ke-59 baru-baru ini, beliau berkata, ianya menjadi bukti kepada kematangan dan kemampuan Malaysia untuk menerapkan nilai Qurani di dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.
"Al-Quran akan menjadi pelindung diri bagi sesiapa saja yang membacanya, memahami serta mengamalkannya di dalam kehidupan seharian. "Melalui pelbagai dasar dan prinsip yang kita pegang termasuklah Indeks Syariah Malaysia dan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) serta pelbagai inisiatif merentasi bidang-bidang utama kehidupan.
Kita berharap agar Islam tidak hanya disinonimkan dengan perkara yang negatif sahaja. "Tetapi malangnya, penghayatan kita terhadap kesucian dan keindahan hari-hari di dalam bulan Ramadan pada tahun ini sedikit diganggu oleh beberapa insiden pembunuhan dan keganasan yang zahirnya melibatkan orang Islam dan dibuat atas nama Islam," katanya dalam catatan terbaharu di blog www.najibrazak.com, hari ini.
Jika hal ini dibiarkan, Najib berkata ia sudah tentu menjejaskan imej ajaran al-Quran yang murni sekali gus diselaputi persepsi negatif sambil menegaskan, hal itu amat bertentangan dengan ajaran kitab suci umat Islam yang berasaskan prinsip rahmat, kemanusiaan dan keadilan.
Menyedari hakikat itu, Najib mengajak umat Islam mempertahankan ketinggian al-Quran dan ajarannya dengan menolak segala bentuk penyelewengan dan percubaan untuk mengaitkan Islam dengan keganasan dan ekstrimisme.
Oleh itu, beliau mengajak umat Islam bersama menghiasi Ramadan dengan bertalaqqi, bertadarus, mentadabbur serta mengambil manfaat dan pedoman sebanyaknya dari al-Quran yang menjadi kalam suci umat Islam.
Beliau mahu umat Islam menjadikan bulan yang penuh keberkatan ini sebagai bulan untuk kita memaknai hidup dengan al-Quran. "Tanggal 17 Ramadan pada setiap tahun umat Islam di Malaysia akan menyambut salah satu peristiwa penting yang berlaku di dalam bulan Ramadan iaitu peristiwa "Nuzul Al Quran".
"Penurunan wahyu terakhir, iaitu al-Quran Al-Karim merupakan bukti kasih sayang Allah SWT kepada makhluk ciptaanNya agar mereka mempunyai panduan dan neraca yang terbaik dalam mengatur kehidupan. "Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 185 yang bermaksud : (masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah," katanya.
Sumber - www.najibrazak.com