Azhar Abdul Shukur yang hadir ke tapak pasar malam belakang Stadium Sungai Besar kira-kira jam 6.15 petang tadi seakan-akan tidak dihiraukan oleh ratusan pengunjung yang ada.
Beliau yang hadir bersama lebih kurang 10 orang jentera PAN itu cuba untuk beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung, namun penerimaan mereka dilihat hambar.
Azhar dilihat masuk ke kawasan pasar malam itu selepas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussien melakukan tinjauan mesra di tempat sama.
Menteri Pertahanan itu turut membawa bersamanya calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi dengan diiringi hampir 100 orang jentera parti.
Selepas calon PAN mula untuk beredar, kelibat Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Nasrudin Hassan Tantawi pula kelihatan hadir ke kawasan pasar malam itu.
Dengan kira-kira 20 orang jentera PAS, para pengunjung pasar malam diberikan risalah calon parti Islam itu iaitu Dr Abdul Rani Osman.