KUALA LUMPUR – Karnival Himpunan Hari UMNO sempena ulang tahun ke-70 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu depan di Dataran Merdeka dibatalkan.
Turut dibatalkan, acara Sukan UMNO dan Larian Bendera UMNO yang sedang berlangsung di seluruh negara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pembatalan itu dibuat atas dasar menghormati insiden nahas helikopter ASS350 yang meragut nyawa enam penumpang termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar.
Beliau berkata, walaupun persiapan dibuat sepenuhnya dan perancangan sudah dilakukan, namun kepimpinan parti sepakat untuk membatalkan program berkenaan.
“Kami berpandangan, ini bukan masa sesuai untuk meneruskan program itu, apatah lagi rasa sedih bukan saja menyelubungi ahli keluarga mangsa, malah semua ahli UMNO dan rakyat seluruh negara.
“Sambutan ulang tahun UMNO yang turut dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PTWC) pada 11 Mei ini akan diteruskan secara sederhana membabitkan bacaan Yasin dan tahlil bagi memperingati mangsa nahas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Tengku Adnan mewakili UMNO merakamkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan sentiasa berdoa supaya operasi pencarian dipermudahkan.
Katanya, barisan kepimpinan dan ahli UMNO dukacita serta sedih atas insiden yang berlaku. – BHarian