Pemecatan dua orang kanan Tun Dr Mahathir Mohamed dari UMNO Jumaat lalu sedikitpun langsung tidak memeranjatkan. Malah, pemecatan ini sememangnya sudah dijangka sejak sekian lama, cuma apa yang dirungutkan oleh ramai pihak, ianya dilakukan agak lewat daripada apa yang dijangka. Ramai yang mengharapkan, pemecatan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz dilakukan jauh lebih awal.
Namun begitu, harapan ramai pihak yang mahu melihat dua individu pengkhianat parti ini akhirnya terlaksana jua. Malah lebih menarik lagi, semua peruntukan terhadap Yayasan Kepimpinan Perdana yang selama ini dijadikan markas penentangan kerajana oleh Tun Dr Mahathir akhirnya dibekukan. Malah, secara sinisnya, kerajaan mengusir keluar “saka” yang mendiami Yayasan berkenaan.
Melihat kepada senario ini, adakah Tun M masih memilih untuk menumpang parti orang lain untuk meneruskan gerakan penentangannya terhadap kerajaan yang ditadbir oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak? Kenapa beliau masih enggan menyertai mana-mana parti politik pembangkang yang ada pada hari ini supaya memudahkan kerjanya untuk mencari tandatangan Deklarasi Rakyat yang giat dijajanya?
Sebenarnya, Tun M tidak lagi perlu menumpang mana-mana parti pembangkang yang ada pada hari ini. Ini kerana, PKR sendiri sudah menolak kehadiran Tun M didalam parti mereka. Ini dibuktikan dengan kenyataan keras Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah yang mencabar Tun M bertanding menentang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.
PAN dan DAP pula dilihat lebih banyak mendiamkan diri dari mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung sebarang tindakan Tun M yang sedikit sebanyak menumpang parti mereka. Lebih melucukan, ada diantara ahli DAP dan PAN sendiri mendakwa, kehadiran Tun M kedalam parti mereka bukan menguatkan parti itu, melainkan menyumbang kepada kelemahan kedua-dua parti berkenaan.
Justeru, melihat kepada reaksi ketiga-tiga parti yang membentuk Pakatan Harapan hari ini, apa lagi pilihan Tun M dan kuncu-kuncunya dalam meneruskan gerakan menjatuhkan kerajaan? Menyertai PAS, bukan pilihan yang bijak kerana sejak dari awal pentadbirannya sehinggalah hari ini, PAS adalah sebuah parti yang cukup kosisten menentang Tun M.
Oleh yang demikian, pilihan yang ada ditangan Tun M adalah membentuk parti baru. Mungkin Tun M boleh menamakan Parti Deklarasi Rakyat (PDR) dimana parti ini bolehlah menempatkan jutaan pengikut setianya termasuk menghimpunkan “sampah-sampah” UMNO kedalam parti barunya.
Bukan sukar untuk menubuhkan parti baharu sementelah Pilihan Raya Umum masih jauh lagi untuk di laksanakan. Beliau hanya memerlukan pendaftaran parti, penyokong dan pengikut, dimana beliau sendiri sudah memeiliki semuanya. Adakah Tun M gentar untuk menubuhkan satu lagi parti politik baru bagi menentang UMNO dan Barisan Nasional seperti yang beliau mahukan?
Didalam parti ini, Tun M sendiri boleh meletakkan dirinya selaku Presiden mahupun Ketua Umum, sama seperti Datuk Seri Anwar. Mukhriz mungkin boleh diletakkan sebagai Presiden dengan dibantu oleh Muhyiddin selaku Timbalan. Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Khairuddin, Datuk Hamidah, Anina, dan lain-lain lagi boleh sahaja ditempatkan dimana-mana jawatan yang beliau suka.
Tunggu apa lagi Tun M. Inilah masa dan ketikanya membuktikan Tun M berani dan benar dalam perjuangan. Usah menumpang kekuatan parti lain untuk melariskan Deklarasi Rakyat yang begitu hangat diperjuangkan oleh beliau. Buktikan kebenaran tersendiri dengan membentuk satu lagi parti pembangkang yang beliau sendiri kuasai. Persoalannya, beranikan Tun M melaksanakan cabaran ini?