Sunday, 26 June 2016
Tindakan Letak Jawatan Tanda Bantah Berasaskan Emosi - Hishammuddin
By @MNA at 02:53:00
KLUANG - Tindakan beberapa anggota UMNO Bahagian Pagoh yang meletak jawatan sebagai tanda membantah keputusan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat berasaskan sentimen emosi semata-mata, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Anggota Parlimen Sembrong itu berkata beliau amat memahami keputusan yang dibuat mereka, bagaimanapun ia (emosi) boleh dibendung menggunakan penjelasan dan pendekatan yang ikhlas.
"Saya setuju dengan hujah Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tentang perkara ini (isu pemecatan Muhyiddin) dan saya percaya kalau kita pegang kepada nilai-nilai perjuangan, kita melihat sesuatu itu bukan berkisar kepada peribadi tetapi kepada kepentingan parti.
"Kita tengok apa yang diputuskan itu bersandarkan kepada disiplin yang mengikat kita semua termasuk diri saya sendiri sebagai naib presiden...apa yang kita fahami di Pagoh, ada sentimen emosi tetapi saya harap ia tidak menular kepada bahagian-bahagian lain. Setakat ini, saya tidak nampak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Rahmat Ramadan, Khatam al-Quran serta Majlis Kesyukuran Projek Jiwa Murni Parlimen Sembrong di Felda Ulu Dengar, dekat sini petang tadi.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan itu berkata sejak dari dahulu, UMNO terutamanya UMNO Johor tidak pernah meletakkan kepentingan peribadi dan kepentingan individu melebihi kepentingan parti.
"Daripada isu Tun Musa Hitam, isu Tun Dr Ismail semasa dia Menteri Dalam Negeri, Datuk Onn Jaafar lagi iaitu pengasas UMNO. Bila dia (Onn Jaafar) keluar dari UMNO disebabkan visinya jauh ke hadapan, ditolak oleh Johor, ditolak oleh orang Melayu, ia tidak menjejaskan parti.
"(Dan) ini nilai-nilai perjuangan prinsip kita dalam UMNO Johor (dan) itu saya harap, akan terus dapat kita pertahankan dan saya percaya itu cara kita dididik, itu cara kita dibesarkan, itu cara kita diminta untuk berpolitik, saya rasa itu cara yang betul," katanya.
Ketika ditanya sama ada isu pemecatan itu akan menjejaskan persiapan Pilihan Raya Umum Ke-14, beliau berkata ia tidak akan menjejaskan jentera UMNO terutamanya di Parlimen Sembrong.
Tengah hari tadi, tiga anggota jawatankuasa (AJK) daripada UMNO Bahagian Pagoh iaitu Ketua UMNO Cawangan Batu 6 Datuk Abd Aziz Hashim, Ketua Cawangan UMNO Parit Medan Mohd Solehan Badri dan seorang AJK Datuk Abu Bakar Mohamed meletakkan jawatan tanda bantahan kepada pemecatan Muhyiddin, yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh.
Keputusan pemecatan Muhyiddin diumumkan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi semalam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO.
Turut dipecat dari parti ialah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, manakala Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keahlian sementara menunggu laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.
- BERNAMA