Friday 27 May 2016

UMNO Kelantan Hantar 50 Penceramah Bantu Kempen PRK Kuala Kangsar

Image result for umno kelantan

KUALA KANGSAR - Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan menghantar 50 penceramah selain jentera untuk mendekati pengundi dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar bulan depan.

Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penceramah berkenaan antara lain akan berperanan membantu jentera Barisan Nasional (BN) untuk menangkis pelbagai isu yang mungkin ditimbulkan oleh pembangkang.

"Saya difahamkan tiada isu tempatan yang besar di sini selain isu pembangunan dan saya percaya pembangkang akan menimbulkan isu nasional walaupun isu nasional itu saya percaya tidak ada.

Namun begitu kita sedia menghadapi cabaran kerana ia merupakan tanggungjawab kami dan pastinya akan bekerja sungguh-sungguh bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar," katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Kelantan di Bukit Mercu dekat sini malam tadi.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak menafikan PRK Kuala Kangsar dilihat sengit, maka ia menuntut kesungguhan semua pihak dalam BN untuk bekerja keras selain bekerjasama.

Mengenai penceramah dari Kelantan, Mustapa berkata semua yang dipilih itu mempunyai banyak pengalaman pada beberapa PRK di Kelantan.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Turut terkorban ialah Anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.


- BERNAMA