Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyemburkan air pada program berkhatan beramai-ramai 2016 bersama anak-anak komuniti Wilayah Persekutuan di Masjid Putra hari ini. Seramai 1,250 kanak-kanak didaftarkan menyertai acara tersebut yang turut dibantu Pertubuhan Doktor Doktor Islam Malaysia (PERDIM)
PUTRAJAYA - Masyarakat perlu mengambil tahu dan menghayati ilmu kesihatan agar sebarang penyakit boleh dicegah di peringkat awal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata ini kerana terdapat segelintir masyarakat yang masih mempercayai kepercayaan karut tentang sesuatu penyakit ketika kaedah perawatan moden telah mencapai tahap tertinggi.
Berkongsi pengalaman ketika mengunjungi beberapa pusat autisme sebelum ini, Najib berkata beliau dimaklumkan oleh pengarah pusat berkenaan bahawa ia kurang mendapat perhatian ibu bapa yang mempunyai anak autisme kerana mereka percaya keadaan anak mereka disebabkan terkena buatan orang atau ilmu hitam.
"Dalam lawatan tersebut saya bertanya berapa ramai yang menggunakan pusat rawatan yang disediakan kerajaan itu dan dimaklumkan ia tidak seperti diharapkan kerana ada ibu bapa percaya keadaan yang dialami anak-anak mereka adalah disebabkan terkena buatan orang.
"Maknanya masih ada dalam kalangan ibu bapa yang mempercayai bahawa sesuatu penyakit itu disebabkan ilmu hitam sehingga mengatasi keyakinan terhadap keupayaan sains dan rawatan moden," katanya ketika berucap merasmikan majlis Sunathon Perdana di Masjid Putra, di sini Sabtu.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut hadir pada majlis anjuran bersama Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) dan Kementerian Wilayah Persekutuan melibatkan 1,250 peserta dalam kalangan anak yatim, asnaf dan keluarga kurang kemampuan.
Perdana menteri berkata kepercayaan karut itu perlu ditinggalkan kerana jika terus dijadikan amalan, ia secara tidak langsung akan mengetepikan kaedah rawatan yang lebih terjamin.
Mengenai program Sunathon Perdana, Najib berkata ia satu pendekatan terbaik apabila pihak swasta seperti PERDIM tampil memberikan khidmat secara percuma dalam membantu golongan yang memerlukan.
"Kerjasama tersebut menyaksikan pihak PERDIM menampilkan kaedah bersunat terkini dengan cara 'clamp dan laser', berbanding cara konvensional menggunakan "tok mudim", sekali gus mengurangkan rasa takut atau sakit kepada kanak-kanak yang melaluinya.
"Saya anggap usaha kerajaan dan doktor Islam ini adalah satu lagi kaedah yang sangat baik kerana memberikan khidmat kesihatan yang tidak mampu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan," katanya.
Najib juga menzahirkan kekaguman beliau dengan program itu kerana selain nama sunathon, bilangan peserta melebihi 1,000 orang juga adalah luar biasa dan layak dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
"Saya sudah biasa merasmikan jogathon, walkathon dan pelbagai acara seumpama ini, namun program sunathon ini saya anggap lebih menarik dan boleh jadi sejarah baharu yang layak disenarai dalam MBOR," katanya.-Bernama