Saturday 14 May 2016

#PRKSgBesar : Muslimin Pilihan Allahyarham Dato Noriah Kasnon?

20160514_122733

Menghampiri detik dua Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar, ramai pihak didalam UMNO di kedua-dua buah Parlimen ini, begitu hangat melobi calon pilihan masing-masing. Pelbagai rencah dan keyataan dikeluarkan oleh UMNO di kedua-dua Bahagian ini bagi membolehkan calon pilihan mereka dipilih untuk menjadi calon yang akan dipertandingkan di kedua-dua Parlimen berkenaan.

Berbicara tentang calon-calon ini, Parlimen P093 Sungai Besar juga tidak terkecuali dalam membicarakan calon yang bakal diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil itu nanti. Banyak nama di war-warkan sebagai calon pilihan dan masing-masing mempunyai pilihan yang tersendiri untuk diberi pertimbangan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

images (6)

Dalam hal ini, antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi calon bagi Parlimen ini adalah Datuk Jamal Md Yunus, Ketua Bahagian UMNO Sekinchan. Beliau dikatakan oleh penyokongnya sebagai calon yang paling layak untuk menggantikan kerusi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Hajjah Noriah Kasnon yang terkorban dalam nahas helikopter di Triso, Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.
Namun begitu, semua pihak difahamkan, Datuk Jamal dilaporkan menolak untuk dicalonkan bagi kerusi ini. Bukan sekali beliau menolak, malah berkali-kali beliau dilaporkan menolak sebarang usaha untuk mencalonkannya. Namun begitu, bagi para penyokongnya, penolakan beliau ini bukanlah penolakan secara total, sebaliknya, beliau pasti akan rela hati menjadi calon andai beliau dicalonkan kelak.
Sesuatu yang menarik disini, Allahyarham Datuk Hajjah Noriah ada beberapa kali menyampaikan amanat beliau kepada rakan rapat dan UMNO Bahagian Sungai Besar sebelum beliau meninggal dunia. Beliau dikatakan enggan lagi menjadi calon UMNO dan Barisan Nasional untuk kerusi ini pada Pilihan Raya Umum yang akan datang. Dikatakan, beliau ada mengemukakan satu nama yang beliau sifatkan mampu untuk meneruskan apa yang beliau lakukan dan nama berkenaan cukup diterima oleh semua penduduk di Parlimen Sungai Besar.


Nama yang dimaksudkan ialah Muslimin Yahaya, individu yang menjadi Setiausaha Sulit Kanan bagi Allahyarham. Allahyarham menyifatkan Muslimin sebagai seorang yang berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya sebagai pembantu paling rapat beliau di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Dikatakan, Allahyarham telahpun mengagihkan tugas-tugas khas beliau kepada Muslimin untuk mentadbir Parlimen Sungai Besar.
Namun begitu, bagi Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, beliau lebih cenderong untuk meletakkan calon wanita di kerusi ini sebagai kesinambungan kepada penyandangnya sebelum ini. Untuk itu, beliau telah menamakan Widia Wati Abuzar. Ketua Puteri UMNO Bahagian ini. Andai nama ini diterima oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, ini adalah satu penghormatan kepada Pergerakan Puteri UMNO disaat Ketua Wanita UMNO sendiri mencadangkan nama salah seorang ahlinya di sini.
Walau siapapun yang dipilih oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, seperti yang digariskan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, calon berkenaan haruslah di terima, disukai dan diyakini boleh mencapai kemenangan di kedua-dua kerusi ini, terutamanya Parlimen P093 Sungai Besar yang sebelum ini hanya mencapai kemenangan tipis pada Pilihan Raya Umum yang ke `13 lalu.