KUALA LUMPUR – Lebih sejuta pangkalan data telah digunakan bagi tujuan memalsukan tandatangan rakyat dalam ‘Deklarasi Rakyat’.
Pengaturcara Komputer bebas, Azharuddin Othman dalam akuan bersumpahnya mengaku membekalkan data yang diperlukan kepada Syarul Ema Rena Abu Samah yang turut dikenali dengan gelaran ‘Ratu Naga’.
“Pada 27 April lalu, saya ditawarkan sejumlah RM5,000 untuk mendapatkan 1.2 juta pangkalan data dan dihantar kepada ‘Ema’ melalui email.
“Dia (Ema) kata, pangkalan data itu adalah untuk keperluan Tun Dr Mahathir bagi Deklarasi Rakyat yang akan dihantar kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong.
“Ema juga mengakui data itu perlu dipalsukan dan mencukupkan bilangan dengan cepat. Dia juga menyatakan Tun Mahathir tidak mahu namanya dilibatkan dalam penipuan ini,” kata Azharuddin dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada Khamis.
Pada Mei lepas, Deklarasi Rakyat-Selamatkan Malaysia yang dilancarkan Tun Mahathir Mohamad dikatakan telah melepasi sasaran sejuta tandatangan yang dijangka dicapai akhir tahun ini.
Jelas Azharuddin lagi, selepas semuanya selesai, dia hanya mendapat RM1,000 sahaja dan sehingga kini belum mendapat baki bayaran yang dijanjikan.
Menurut Azharuddin, dia menggunakan pangkalan data pilihan raya yang mengandungi maklumat pengundi yang dikongsikan antara kumpulannya.
“Jadi kita ada kawan-kawan, iaitu kumpulan saya yang berkerja sendiri secara sukarela pilihan raya.
“Sebagai seorang sukarela untuk pilihan raya, CD itu boleh diakses oleh sesiapa sahaja dan tidak memerlukan jawatan,” kata Azharuddin.
Azharuddin yang berasal dari Terengganu berkata dia mengenali Ema melalui seorang kawan, pernah jumpa berdepan dan berkomunikasi melalui whatsapp.
Dalam pada itu, Ema atau Ratu Naga melalui status Facebooknya mendakwa namanya digunakan untuk menyebarkan fitnah dan mencabar mereka yang bertanggungjawab untuk bersemuka dengannya.
Dia juga akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi menjelaskan isu berkenaan. – Awani