Tuesday 12 April 2016

Kewarganegaraan Dan Perpaduan Di Malaysia



Kewarganegaraan dan Perpaduan Di Malaysia


KUALA LUMPUR - Kewarganegaraan sebagai prinsip dan amalan membawa harapan serta potensi untuk meningkatkan perpaduan kebangsaan dalam masyarakat pelbagai etnik, agama seperti yang wujud di Malaysia.

Seandainya prinsip kewarganegaraan yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia diamalkan, ia boleh menyatukan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai latar belakang.

Ini boleh dilaksanakan menerusi jalinan perkongsian minat serta nilai yang juga boleh membawa kepada perkongsian masa hadapan.

Kebanyakan rakyat Malaysia sedar akan satu daripada dua dimensi utama kewarganegaraan.

Sejak Merdeka, hak iaitu secara khususnya hak komuniti banyak ditimbulkan dalam perbincangan awam.

Dalam masa yang sama, aspek politik, ekonomi, kebudayaan serta kehidupan sosial negara ini dibina atas asas mempertahankan serta menjelaskan hak komuniti.

Keadaan ini berpunca daripada beberapa sebab.




Dengan penganugerahan taraf kewarganegaraan secara besar-besaran kepada pemastautin Cina dan India menjelang Kemerdekaan, orang Melayu sebagai penduduk pribumi yang telah menubuhkan kerajaan sendiri bertukar menjadi satu daripada komuniti dalam kalangan pelbagai komuniti di negara ini.

Melindungi kedudukan komuniti itu sebagai komuniti utama menjadi perkara pokok politiknya.

Begitu juga dengan orang Cina dan India yang turut sama bersunguh-sungguh mahu mengekalkan serta memperluaskan hak yang diperoleh serta taraf kewarganegaraan yang diterima kemudiannya.

Daripada awal pembentukan negara pada tahun 1957, terdapat juga kesedaran dalam kalangan warganegara tentang hak individu.

Perlembagaan negara mempunyai sistem tadbir urus yang demokratik membenarkan daripada segi undang-undang untuk menyuarakan hak ini.

Apabila berlaku perlanggaran terhadap kebebasan bersuara serta kebebasan lain oleh pihak pemerintah, ramai rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang etnik atau agama bangkit serta komited untuk mempertahankan hak ini.




Sementara komitmen kepada hak adalah penting untuk mengekalkan amalan kewarganegaraan, adalah malang dimensi lain kewarganegaraan tidak diberi penekanan yang sepatutnya.

Kewarganegaraan akan menjadi tidak seimbang dan berat sebelah sekiranya warganegara gagal menghargai kepentngan tanggungjawab. Hak serta tanggungjawab adalah seiring dan perlu dihargai.

Dalam masyarakat yang pelbagai etnik serta agama seperti yang wujud di negara kita, salah satu tanggungjawab berat adalah untuk memahami dengan sedalam-dalamnya tentang apa dia negara ini dan apa yang bukan.

Mari kita mulakan dengan apa yang bukan.

Malaysia bukan tiba-tiba muncul daripada lautan pada tahun 1957. Bukan juga sejarahnya bermula dengan rundingan pelbagai pemimpin komuniti ketika mereka cuba mencapai persetujuan mengenai beberapa isu etnik yang menimbulkan perbalahan sebelum Merdeka.

Bahagian paling penting sejarah yang amat relevan kepada negara Malaysia hari ini adalah kesinambungan Kesultanan Melayu di Semenanjung Melayu dari tahun 1136 dan seterusnya.

Pada masa yang berbeza, kesultanan ini melaksanakan bidang kuasa serta hubungan luar dengan negeri lain, dekat dan jauh.

Bahasa yang diamalkan oleh pihak istana adalah bahasa Melayu yang menjadi bahasa perhubungan rantau itu dan Islam menjadi asas undang-undang serta pentadbiran.

Menjadi tanggungjawab generasi Malaysia masa kini untuk menghargai kaitan Kesultanan, bahasa Melayu dan Islam di satu pihak dan Malaysia hari ini, di pihak yang lain.

Sudah menjadi fakta bahawa Malaysia hari ini adalah evolusi Kesultanan Melayu. Apabila kita melafazkan ikrar kepada Perlembagaan Malaysia, kita sebenarnya mengiktiraf aspek penting sejarah ini.



Ada satu lagi aspek sejarah kita yang anak muda Malaysia juga perlu fahami.

Ini mengenai migrasi orang Cina dan India ke Malaysia dari abad ke-19 semasa pemerintahan penjajah British, pemastautinan mereka dan penganugerahan kewarganegaraan selepas era penjajahan.

Keadaan ini bukan sahaja menukar demografi negara tetapi juga struktur ekonomi, budaya serta politik.

Ia menjurus kepada evolusi negara pelbagai etnik serta agama seperti yang kita kongsi hari ini.

Tanggungjawab kita sebagai warganegara Malaysia adalah untuk membangunkan penghargaan terhadap proses sejarah: pemerintahan Melayu sebagai asas negara dan evolusi Malaysia sebagai negara pelbagai etnik serta agama menerusi migrasi serta pemastautinan dan penganugerahan kewarganegaraan.

Salah kalau hanya mengiktiraf satu dan menafikan yang satu lagi atau untuk memberi penekanan kepada satu perkara dengan mengorbankan yang satu lagi.

Semestinya, ini memutarbalikan kebenaran.

Sentimen berkait dengan proses sejarah ini dilahirkan menerusi pelbagai isu - jus soli dan kewarganegaraan pada tahun 50-an; Melayu sebagai bahasa tunggal rasmi dan bahasa kebangsaan pada tahun 60-an; dan Dasar Ekonomi Baru, sekolah bahasa pengantar Cina, identiti agama serta memeluk agama Islam hingga ke hari ini - adalah cabaran utama kepada perpaduan kebangsaan.

Pada kebanyakan masa, isu-isu ini dilihat daripada pelbagai sudut hak dan ini mencetuskan ketegangan yang memecah-belahkan komuniti.

Potensi konflik mungkin dapat dikurangnya dengan 'pendekatan yang lebih bertanggungjawab' dan boleh menjurus kepada penyelesaian yang berpaksikan kepada keadilan.




Yayasan 1Malaysia (YIM) telah berusaha untuk mengimbangkan tanggungjawab dan hak dalam programnya mengenai Perlembagaan Malaysia untuk pelajar sekolah menengah atas.

Membangunkan kefahaman tentang negara ini dan bagaimana kita boleh mengatasi cabaran perpaduan adalah satu daripada matlamat utama program ini yang berjaya menyatukan ratusan pelajar serta ramai guru di pelbagai pelosok negara ini dalam tempoh lima tahun lepas.

Sekurang-kurangnya ia memberi sedikit harapan untuk masa hadapan.

- BERNAMA