Monday, 7 November 2016

Pembangkang Sudah Ketandusan Isu Dan Cuba Bermain Persepsi - Ismail Sabri

Image result for ISMAIL SABRI

Pembangkang kini ketandusan isu apabila menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba menggadai negara berikutan pelaburan besar dari China masuk ke negara ini. 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaburan asing yang masuk ke negara ini sudah lama berlaku termasuk dari Amerika Syarikat dan Britain tetapi pelabur terbabit tidak pula menjajah negara ini. 

"Waktu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri pun pelaburan asing banyak masuk ke Malaysia, tidak pernah pun kita kata pelabur asing itu akan menjadi penjajah kepada negara kita," katanya selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi Kubang Kuau dan Bukit Tandak, Rantau Panjang di sini, hari ini. 

Semalam, Najib menyelar pihak yang menyebarkan cerita untuk menakut-nakutkan rakyat negara ini kononnya Malaysia sedang dijual melalui pelbagai perjanjian perniagaan bernilai lebih RM143 bilion yang ditandatangani dengan China semasa lawatan rasmi beliau ke negara itu sejak Isnin lalu. 

Ismail Sabri yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata selain Malaysia, negara lain di seluruh dunia juga menerima pelaburan asing untuk membangun "Sepatutnya kita berasa bangga dan bertuah apabila terdapat banyak pelaburan asing masuk ke negara kita, antaranya akan menambah pekerjaan dan lain-lain untuk faedah rakyat," katanya. 

Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kedaulatan negara akan menjadi keutamaan dan tetap dipertahankan. Ditanya mengenai organisasi yang didakwa menerima dana daripada hartawan George Soros, Ismail Sabri menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan. 

Bagaimanapun, katanya, pihak terbabit tidak sepatutnya membuka pintu kepada penyangak mata wang itu menyalurkan dana kepada organisasi terbabit. "Peranan Soros adalah menumbangkan beberapa negara di dunia, dan Tun Dr Mahathir pernah menyifatkan Soros sebagai penyangak mata wang dan seorang yang tidak baik," katanya. 

Sehubungan itu, beliau mahu UMNO memberi penjelasan kepada rakyat mengenai perkara itu dan isu-isu semasa yang lain supaya mereka tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mahu menjatuhkan kerajaan.- BH

Related Posts: