KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah terlalu dipolitikkan dan pihak tertentu dalam Malaysia cuba mengeksploitasinya untuk kepentingan politk peribadi mereka.
Katanya, mereka ini yang telah “menyalurkan kepada pihak berkuasa asing maklumat yang adakalanya salah atau tidak lengkap.”
“Mereka yang berada di luar Malaysia adakalanya tidak mudah untuk memahami kerumitan isu ini, dan ia suatu yang mereka harus ingat supaya tidak terjebak dalam perkara ini yang kini merupakan isu politik dalaman negara,” kata Najib dalam interviu bertulis dengan Nikkei Asian Review sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke Jepun mulai hari ini.
Lawatan itu adalah atas jemputan rakan sejawatannya Shinzo Abe. Najib berkata pihak berkuasa Malaysia, yang sebenarnya telah memulakan penyiasatan dalam isu 1MDB, dan beliau sendiri yang terlebih dahulu mengarahkan pelbagai pihak untuk menjalankan siasatan.
Najib diminta mengulas tentang tindakan kerajaan asing menyiasat dakwaan mengenai penyelewengan dana berkaitan 1MDB dan sama ada beliau menganggapnya sebagai suatu campur tangan serta sama ada Malaysia akan membuka semula siasatannya.
Perdana Menteri berkata, beliau telah berulang kali menegaskan bahawa kerjasama penuh perlu diberi terhadap mana-mana siasatan, dengan syarat ia tidak bercanggah dengan undang-undang Malaysia.
“Malah, seperti yang sering saya tegaskan, sekiranya terbukti berlaku sebarang salah laku, undang-undang akan diambil tanpa sebarang pengecualian,” katanya. – AntaraPos