Friday, 21 October 2016

#BAJET 2017: Tindakan Pembangkang Keluar Dewan Aibkan Imej Parlimen - Najib

Image result for NAJIB BENTANG BUDGET 2017

KUALA LUMPUR - Tindakan beberapa anggota Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat semasa pembentangan Bajet 2017 mengaibkan imej Parlimen, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata mereka sepatutnya menghormati proses demokrasi, serta segala nilai yang bersangkut paut dengan amalan demokrasi.

"Ini penting kerana di negara majupun mereka boleh berbeza pendapat tetapi tidak berkelakuan sedemikian. Ini (tindakan keluar Dewan Rakyat) mengaibkan imej Parlimen," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat hari ini.

Anggota Parlimen pembangkang daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara serta Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak keluar dewan ketika pembentangan Bajet bertema 'Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh' masih berlangsung.

Anggota Parlimen pembangkang turut membuat kecoh dengan mempamerkan plakad bernada sinis sebelum berbuat bertindak demikian.

Najib menegaskan walaupun berbeza pendapat dan ideologi, semua pemimpin tidak kira daripada kerajaan atau pembangkang harus saling hormat menghormati.

"Kita mesti bersopan, tunjuk tingkah laku yang mulia kerana kita ini adalah pemimpin, tidak kira pembangkang atau kerajaan.

"Jadi pemimpin mesti tunjuk tingkah laku baik supaya kita dihormati rakyat dan kemuliaan sistem demokrasi Parlimen kita juga kena jaga," katanya.

Najib berkata rakyat perlu menilai perangai pembangkang dan membuat keputusan apabila sampai masanya. - Bernama

Related Posts: