Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan tetap menabur bakti dan meneruskan segala khidmat untuk dinikmati rakyat.
Perdana Menteri berkata, segala yang dilakukan kerajaan sejak negara merdeka adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
Katanya, semua yang dilakukan kerajaan juga demi Malaysia yang tercinta.
"Pada tahun ke-60 Malaysia merdeka, kita perlu menghayati segala yang sudah kita kecapi.
"Bak kata orang, kita tidak akan menghargai sesuatu hingga kita kehilangannya. Biarlah mereka nak kata apa pun, kerajaan hari ini tetap terus menabur bakti. Biarlah mereka nak kata apa pun, segala khidmat tetap diteruskan," katanya dalam kiriman menerusi blog beliau, Najibrazak.com hari ini.
Perdana Menteri berkata, wakil rakyat kini terus bertungkus lumus menjalankan kerja, membina jalan baru, hospital, sekolah, menceriakan kawasan, membina pusat beribadat, dewan masyarakat, kemudahan beriadah, membaiki kemudahan awam, rumah yang rosak, semuanya demi kemakmuran rakyat di negaraku ini.
Katanya, anasir negatif dalam dan luar negara boleh terus menghasut namun mereka tidak mampu menafikan kejayaan-kejayaan 'negaraku' dan pembangunan yang sudah berlaku di depan mata.
"Pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat. Transit Aliran Massa (MRT); Transit Aliran Ringan (LRT), Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Johor; Menara Warisan Merdeka (KL118), Jambatan Pulau Pinang Kedua, Lebuhraya Pan Borneo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur II (klia2), Kota Iskandar, Lebuhraya Pantai Timur 3, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Perumahan Rakyat, Klinik 1Malaysia, subsidi pendidikan, subsidi perubatan, TERAJU, TEKUN, BR1M, Skim Latihan 1Malaysia (SL1M); Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC); program 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin); program eRezeki; Dana Mudahcara; dan pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat.
"Semuanya bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Semuanya demi negaraku yang tercinta.
"Tahun ini tahun Negaraku, tahun kita mensyukuri kemakmuran dan terus membangunkan negaraku," katanya.