
KUALA LUMPUR - UMNO tidak seharusnya melayan tindakan politik adu domba yang dicetuskan pihak pembangkang sebaliknya terus fokus kepada politik khidmat bakti kepada masyarakat yang selama ini menjadi salah satu dasar utama perjuangan parti, ujar Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah
Jelas beliau sebagai pimpinan muda dalam UMNO, mereka harus terus teguh bersama kepimpinan parti dan terus memberikan politik khidmat bakti pada rakyat kerana di situlah amanah dan tanggungjawab sebenar sebagai pemimpin parti.
“Adalah lebih baik kita fokuskan gerak kerja parti dalam menghadapi PRU14 dan mendekati rakyat, daripada asyik bermain politik kebencian dan politik adu-domba mempergunakan rakyat atas dasar kepentingan peribadi.
“Sentiasa ingat bahawa kita dijadikan pemimpin kerana suara akar umbi dan rakyat, ingat asal usul kita, dari mana kita bermula dan tidak tahu di mana berakhirnya permulaan kita itu.
“Kita juga harus sentiasa terbuka terima kritikan, kutukan, pandangan, cadangan malah kena istiqamah jika difitnah. Dalam perjalanan politik bukan semua orang akan suka walaupun kita buat kerja dan adakala tidak disukai walaupun tidak kenal kita secara peribadi kerana itu sudah menjadi resam asam garam dalam perjuangan,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Pengerusi Briged Kesatria Muda berkata pasukannya akan digerakkan bagi persiapan sebarang bencana alam terutamanya banjir besar yang kebiasaannya berlaku hujung tahun sebagaimana yang berlaku sebelum ini.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, iaitu sejak 2013, saya sendiri akan mengetuai Briged Kesatria Muda yang terlibat dalam misi bantuan kemanusian di kawasan-kawasan banjir dalam negara terutama di Pantai Timur.
“Inilah politik khidmat bakti yang dimaksudkan dan akan kita teruskan. Bukan sekadar bantuan banjir, kita juga terlibat dalam banyak program kebajikan pada masyarakat seperti gotong-royong, bantuan gelandangan, pembaikan rumah warga miskin dan sebagainya. Apa yang penting adalah konsep utama yang kita terapkan iaitu Politik Khidmat Bakti kepada masyarakat,” ujarnya. - MediaUmno