Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi harus menyerah diri atau berdepan ditahan pihak polis kerana dakwaan tweet beliau yang menyinggung banyak pihak berkaitan kematian Allahyarham Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.
“Jika beliau (Ooi) mahu menjadikannya perkara yang lebih mudah, hanya serah diri.
“Jika tidak, kita (polis) akan cari dia,” kata Khalid kepada media selepas perhimpunan bulanan di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, Isnin
Khalid sebelum itu mengesahkan Ooi disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mewujudkan ketidakharmonian, pepecahan atau perasaan permusuhan, kebencian, berniat jahat atau prasangka yang menjejaskan keharmonian atas alasan keagamaan.
Kes tersebut merujuk kepada tindakan Jeff Ooi yang menulis ‘Adios Harun Din. Let there be peace’ di twitternya mengenai kematian arwah Haron Din.
Jeff Ooi kemudian menjelaskan di twitter itu bahawa maksud ‘Adios’ dalam bahasa Sepanyol ialah ‘farewell’ dan dalam Bahasa Malaysia sebagai ‘selamat jalan’.
Dalam pada itu, polis turut menahan dua individu kerana memuat naik kenyataan di Facebook menghina Islam berkaitan kematian Haron Din.
Mereka ditahan di Shah Alam, Selangor dan seorang lagi di Ipoh, Perak awal pagi ini untuk siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
“Saya nasihatkan orang ramai berhati-hati sebelum memuat naik kenyataan di laman sosial kerana bimbang boleh mewujudkan perbalahan antara agama,” katanya lagi.