KUALA LUMPUR – PKR yang ditubuhkan menerusi satu gerakan reformasi melibatkan penyatuan pelbagai kaum akan dilihat menjadi sebuah parti politik yang mengiktiraf diskriminasi kaum sekiranya bersama dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).
Ketua Cabang PKR Balik Pulau Abdul Halim Hussain berkata, Bersatu yang ditubuhkan oleh bekas pimpinan Umno yang kecewa merupakan sebuah parti yang lebih perkauman berbanding dengan parti lama mereka sendiri.
“Dari segi prinsipnya untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti atau pertubuhan sekali pun PKR seharusnya berpegang pada prinsip asas reformasi.
“Pertama parti ini (Parti Bersatu) sangat jelas perkauman dari Umno itu sendiri. Parti ini membuka keahlian kepada semua kaum tetapi hanya Melayu sahaja boleh memegang jawatan atau mengundi.
“Adakah bukan Melayu hanya layak menjadi tukang sorak. Jika parti ini diterima dalam Pakatan Harapan (PH) atau diterima sebagai rakan PKR maka ia memberi isyarat PKR mengiktiraf diskriminasi kaum dan ia bakal menjadi beban kepada kita khususnya apabila berdepan pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Parti Dr Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, didaftar secara rasmi di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) oleh presidennya Muhyiddin Yassin minggu lalu.
Muhyiddin berkata, mereka tidak menolak untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Mengulas lanjut, Halim mengakui selama ini PKR sangat diterima baik di kawasan campuran tetapi dengan pengiktirafan parti perkauman ini pastinya akan memberi kesan pada tapak sokongan.
Hal ini demikian kerana, Penasihat Bersatu yang juga mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sehingga kini tidak pernah mengakui kesilapan menzalimi Anwar Ibrahim, malah terus memfitnahnya melalui satu temuramah terbarunya bersama TV Al-Jazeera.
“Ini persoalan penting dan jika salah ditangani pepecahan sokongan bakal berlaku. Mahathir yang kita yakinkan rakyat bahawa dia Mahafiraun, perompak negara tiba-tiba bila dia ketuai sebuah parti lain kita terima dan angkat dia sebagai pemimpin.
“Dia kena akui dan minta maaf atas semua kesilapannya malah tidak keterlaluan dia perlu memulangkan rompakan yang dilakukan seperti skandal Perwaja, Skandal Bank Bumi, Skandal Maminco Makuwasa dan skandal menggunakan wang negara ‘bail out’ anaknya yang mana Anwar dipecat dan dizalimi kerana menghalangnya.
Oleh itu, pimpinan PKR yang dilihat rapat dengan Mahathir ketika ini harus menyatakan pendirian di dalam perkara ini dan mendesak supaya Mahathir meminta maaf kepada Anwar dan seluruh rakyat Malaysia.
“Kita menerima manusia boleh berubah namun ia perlu dengan pengakuan, meminta maaf dan memulangkan apa hak yang diambilnya.
“Pimpinan PKR khususnya yang selama ini begitu rapat dengan Mahathir harus menyatakan pendirian dalam perkara ini. Sepatutnya didesak Mahathir meminta maaf dari Anwar dan seluruh rakyat Malaysia.
“Mood rakyat menolak Umno BN cukup tinggi namun kita tidak mahu penampilan Mahathir yang mahu berkuasa kembali bagi memastikan legasinya mengganggu mood rakyat ini,” katanya lagi. – BeritaDaily