Thursday 7 April 2016

MB Kedah Serah Deklarasi Sokong Najib

deklarasi kedah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini menyerahkan ‘Deklarasi Kedah’ sebagai ikrar memberikan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Deklarasi yang disokong seluruh pemimpin Umno Kedah itu diserahkan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam satu pertemuan di bangunan sementara parlimen, sebentar tadi.

Sokongan itu sebagai tindak balas kepada Deklarasi Rakyat yang dilancarkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Pakatan Harapan untuk menjatuhkan Najib, yang dilancarkan awal Mac lalu.

“Kami sepakat, mengutuk sekeras-kerasnya dan amat kesal dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup bersekongkol dengan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) serta mengepalai Deklarasi Rakyat bersama Lim Kit Siang yang bertujuan menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib Razak, selaku Perdana Menteri Malaysia yang jelas bertentangan dengan amalan dan sistem demokrasi, tanpa mempedulikan lesan dan implikasi terhadap perbuatannya itu kepada negara dan rakyat,” demikian menurut kenyataan media Ahmad Bashah.

Deklarasi Kedah itu antara lain turut mendesak Majlis Tertinggi dan Lembaga Disiplin Umno memecat ahlinya yang terlibat dengan deklarasi yang dikepalai Mahathir dan pembangkang itu.

“Kami mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pemimpin Umno yang masih memegang jawatan, khususnya Tan Sri Muhyiddin yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bersekongkol dan bersubahat dengan agenda pembangkang untuk menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib razak daripada jawatan Perdana Menteri Malaysia yang dipilih secara demokratik,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Ahmad Bashah yang ditemui media selepas perjumpaan itu berkata deklarasi itu disepakati malah perjumpaan hari ini turut dihadiri oleh ketua bahagian, ahli parlimen dan senator Umno Kedah, termasuk ketua pemuda, wanita dan ketua puteri negeri.

“Jadi deklarasi ini kita buat kerana kita merasakan perlu, kita nak menyatakan orang ramai bahawa Kedah masih bersama perdana menteri,” katanya.