Ahli Parlimen Taiping dari DAP Nga Kor Ming nampaknya terus melanjutkan drama provokasi ke atas umat Islam di negara ini apabila enggan memohon maaf di atas kemaskini laman Facebooknya yang mencetuskan kontroversi.
Dalam status itu, beliau menghina amalan bersedekah melalui pemberian duit raya kepada anak-anak dengan menyamakan pemberian itu seperti ‘dedak’ yang pada dia bermaksud rasuah.
Ia disampaikan melalui satu karikatur yang mencetuskan kemarahan rakyat Islam di negara ini.
Hari ini, beliau terus berdegil dan enggan meminta maaf di atas perkara itu dan menyifatkan ia bukan bertujuan menghina.
Banyak pihak berpendapat Kor Ming memang sengaja melakukan perkara itu di negara yang majoriti rakyatnya adalah beragama Islam dan ia dilakukan pada ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri yang sememangnya meriah dengan pemberian duit raya.
Dia sepatutnya tahu apakah reaksi dan tindak balas yang bakal diterimanya jika melakukan perkara sedemikian.
Ketika dihubungi media tempatan, Kor Ming berkata status Facebook itu bukan ditujukan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Adakah beliau menganggap rakyat Malaysia terlalu bodoh untuk menilai perkara berkenaan tambahan pula watak di dalam karikatur itu memakai Baju Melayu siap bersampin lagi sambil meminta apa yang dikatakan oleh Kor Ming sebagai ‘dedak’.
Dalam permainan drama ini, dia pada satu masa akan meminta maaf secara terbuka selepas kontroversi ini sudah memberi kesan atau membuatkan situasi antara kaum agak tegang atau mungkin ketika beliau sudah hampir ditahan polis.
Kini, pihak polis sudah mengumumkan membuka kertas siasatan untuk menyiasat perbuatan ini dan banyak pihak berharap Kor Ming akan didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menghina agama Islam dalam amalan bersedekah.
Satu perkara yang pasti, beliau sudah takut menerima akibat yang lebih buruk kerana bertindak memadam status berkenaan dari terus berada di Facebook. Kor Ming tidak mahu perasaan marah akibat status berkenaan semakin meluap-luap kerana dia sendiri tahu apa yang orang Melayu boleh lakukan jika perkara sensitif berkaitan umat Islam dihina.
Ada beberapa penganalisis politik yang berbangsa Cina juga sudah melihat tindakan yang dilakukan oleh Kor Ming sebagai bodoh dan ia hanya akan menjauhkan lagi sokongan orang Melayu kepada DAP.