SUNGAI BESAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa kerajaan negeri Selangor menyatakan pendirian berhubung sokongan mereka sama ada kepada PAS atau Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.
Katanya, kerajaan Selangor pimpinan PKR dilihat kabur dengan pendirian mereka kerana masih menjalin hubungan dengan Amanah dalam Pakatan Harapan tetapi pada masa sama mengekalkan pertalian dengan PAS, iaitu sekutunya dalam Pakatan Rakyat yang kini telah berkubur.
"Di sini pun kita lihat...di mana letak pendirian kerajaan negeri Selangor, siapa yang dia sokong? Sokong PAN (Amanah) atau sokong PAS? Tolong jelaskan," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama rakyat negeri Selangor di Masjid Ma'muniah, Simpang Lima, di sini hari ini.
- BERNAMA