Monday, 7 August 2017

Isu 'Warlord' UMNO Tak Serius - Dr Zambry



Senario geopolitik semasa tanah air membuka dimensi baharu persediaan Barisan Nasional (BN) berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Di Pusat mahupun negeri, semuanya ligat mencatur gerak kerja bagi memastikan kemenangan. 

Wartawan BH, Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Jalal Ali Abdul Rahim dan Shaarani Ismail menemubual Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mengenai kesiapsiagaan mendepani cabaran pilihan raya.

S: Adakah barisan calon yang akan diketengahkan PRU-14 nanti gabungan muka lama dan baharu?

J: Kita boleh berikan senarai Ahli Dewan (DUN) ketika ini dan saya boleh tunjukkan bahawa sebilangan daripada mereka adalah pemegang PhD, ada lebih lima orang muda. Kita tak boleh nafikan kita perlukan (calon) wanita, kita ada wanita berpengalaman dan wanita muda kerana mereka membentuk populasi negeri dan menyumbang kepada negeri. Jadi kita perlu yakinkan rakyat, khususnya pengundi di luar bahawa kita memerlukan wanita dan orang muda dalam kerajaan dan kita memerlukan gabungan ini.

S: Adakah kita boleh jangka ramai muka baharu di Perak pada PRU kali ini?

J: Politik selalunya dinamik, begitu juga UMNO dan BN. Perdana Menteri juga seorang yang sangat dinamik. Saya selalu berbincang dari semasa ke semasa dengan beliau mengenai impian dan harapan beliau untuk melihat dinamisme parti dengan memperbanyakkan golongan muda ke dalam parti, begitu juga wanita dan mereka yang profesional.

S: Bagaimana nak menguruskan orang lama atau 'warlord' di bahagian. Ada yang masanya sudah berlalu dan jika dibandingkan dengan pembangkang yang mengetengahkan tokoh muda sebagai calon?

J: Pembangkang memang mudah letak calon tetapi dalam konteks kita (BN), kita bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas. Sebahagian daripada kawasan yang memang kita rasa (pemimpin) tidak relevan, maka tidak relevanlah. Biasalah apabila nak pilihan raya akan ada yang menamakan dirinya atau memunculkan dirinya, mungkin ada yang tak pernah muncul tetapi tiba-tiba memunculkan dirinya sebagai calon yang berpotensi. Dari segi amalan dan tradisinya, apabila mula membuat penilaian mengenai nama calon, kita tak menamakan seorang sahaja. Tradisi UMNO dan BN dikehendaki menamakan lebih seorang calon, kadang-kadang hingga empat atau lima orang dalam satu DUN. Inilah kecantikan dalam BN dan di situlah kita membuat penilaian dari pelbagai sudut pandang, kajian dan demografi, melihat kesesuaian orang itu disukai atau tidak. Saya yakin kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak, beliau begitu tegas hatta kepada seseorang yang begitu mungkin rapat dengan dia tetapi sekiranya tidak dapat diterima di kawasan yang nak ditandingi itu (maka) dia tidak akan dinamakan.

S: Bagaimana pendekatan digunakan untuk menangani mereka yang tidak lagi relevan sebagai calon?

J: Ini soal pengurusan perasaan kerana ada yang berasakan diri masih lagi relevan dan ada juga berasakan sudah sampai masa (berundur). Saya nak berkongsi ada kalangan ADUN yang datang kepada saya dan kata 'Datuk Seri saya rasa masa saya dah cukup, bolehlah Datuk Seri beri laluan kepada yang lain'. Jadi, janganlah kita menganggap UMNO ini langsung tak ada watak yang begini. Ada juga watak yang merasakan bahawa dirinya popular selama-lamanya, walaupun rakyat di luar sana sudah tidak berapa suka dan gemar dengan watak itu. Perkara seperti ini kita buat keputusan, pendekatan kita dengan membuat kajian dan penilaian sama ada calon berpotensi dan ada peluang untuk menang, disukai atau tidak oleh rakyat. Kalau tidak disukai maka dengan berat hati kita terpaksa maklumkan dan itu dilakukan pada 2013. Walaupun ada dalam kalangan mereka tertentu termasuk yang sudah lama menjadi ketua bahagian, oleh kerana maklum balas dan hasil maklumat yang kita dapat, kita terpaksa memberitahu kepada mereka untuk mengundurkan diri.

S: Adakah bilangan muka baharu pada PRU-14 dijangka jauh lebih ramai berbanding 43 peratus pada PRU lalu dan adakah yang sebelum ini bertanding tetapi kalah dikekalkan sebab sebelum ini Datuk Seri ada menyatakan mereka yang sudah dua kali kalah tidak akan dicalonkan semula?

J: Mereka tentunya tahu, tetapi saya tak mahu meletakkan hanya semata-mata dalam konteks peratusan, sebab itu kita kena melihat secara praktikal sama ada kesesuaian calon di sesuatu kawasan. Meletakkan seseorang calon bukan perkara mudah berbanding pembangkang. Kita membabitkan soal calon yang paling sesuai kerana kita mempunyai komponen. Dari segi semangat musyawarah dan bilangan yang kita ada, kita akan buat penilaian termasuklah mereka yang sudah membuat pengumuman untuk mengundurkan diri. Saya anggap itu semua (undur diri) dalam konteks positif dan memberi ruang kepada mereka. Ia bukan satu krisis sebenarnya... pembangkang biasalah mereka menganggap ini sudah ada ruang dan nampak UMNO sudah mula goyang, UMNO negeri atau BN negeri bergolak. Tidak, itulah yang menunjukkan betapa terbukanya dan hebatnya ADUN, pemimpin dan wakil rakyat kita kerana mereka ini dididik dari awal lagi. Apabila sampai masanya mereka sudah tidak dapat memberikan sumbangan, maka dia akan memaklumkan dan supaya boleh diberikan kepada anak muda, wanita yang berkelayakan.

S: Datuk Seri begitu popular di Perak dan ramai yang memberi pandangan Datuk Seri berjaya membangunkan Perak berbeza daripada Perak yang dahulu. Sejak 2009 hingga kini, bagaimana prestasi BN dan wakil rakyat BN. Adakah mereka mengharapkan nama Datuk Seri sahaja untuk membantu menjamin dan membawa kemenangan kepada BN?

J: Ketua ini kebiasaan sifatnya tidak akan menceritakan kepada anak buah bahawa dia berpuas hati, walaupun tak membenci dan mengkritik anak buahnya. Tetapi dia akan memberikan rangsangan kepada anak buah untuk terus bekerja dan memberikan persembahan terbaik dan menginspirasikan mereka supaya terus bekerja. Kejayaan kita adalah kejayaan dalam membina satu pasukan yang baik di Perak di peringkat pimpinan politik dengan dokongan daripada semua, dokongan pentadbiran dan rakyat. Saya mewawarkan kepada ADUN dan Ahli Parlimen pendekatan seperti ini perlu kita lakukan dan saya membuat pemantauan dan penilaian maklum balas daripada rakyat yang diberikan kepada saya. Kumpulan WhatsApp berkaitan wakil rakyat dan kakitangan, ADUN dan EXCO supaya saya sentiasa dapat menginspirasikan mereka untuk bekerja dan memberikan perkhidmatan terbaik. Secara keseluruhan, kita rasa dan fikir wakil rakyat memainkan peranan mereka dengan cekap sekali.

S: Ada yang berpendapat dalam hal dan isu berkaitan sara hidup, jika dapat selesaikan isu berkaitan sudah memadai untuk meraih sokongan?

J: Bagi isu besar, ada yang mengatakan bahawa ia disebabkan oleh kenaikan kos (hidup) yang tinggi... contohnya kita tahu masalah yang dibicarakan oleh rakyat soal kenaikan harga barang yang semakin mahal dan orang nak beli barang susah. Dalam konteks Perak, usaha dilakukan negeri dalam mengurangkan ketegangan yang dihadapi rakyat... kami perkenalkan Kedai Bergerak 1Aman Jaya (KB1AJ) di bawah Yayasan Bina Upaya (YBU) yang bergerak di 86 lokasi seluruh negeri menjual barang pada harga lebih rendah daripada kedai biasa. Rakyat melihat ini sebagai satu ruang. Kita memikirkan alternatif itu kepada rakyat untuk bolehkan mereka membeli barang pada harga murah. Kita tahu ada juga yang tiba-tiba menjadi miskin, kematian suami, kehilangan punca pendapatan dan juga ada ibu tunggal warga emas di kampung dan bandar kita sediakan (bantuan). Melalui pendekatan BN, kita sediakan bakul makanan, ia sangat popular dan dilaksanakan sejak enam dan tujuh tahun kebelakangan ini. Ini pendekatan bagi membantu mengurangkan beban rakyat walaupun kita tahu ia bukan penyelesaian total tetapi rakyat lihat inisiatif itu.

S: Apa yang paling Datuk Seri bimbang dalam konteks menghadapi pilihan raya akan datang?

J: Saya tidak mahu peristiwa 2008 (BN gagal bentuk kerajaan di Perak) berulang kembali. Biar kita jujur mengenai perkara ini.

S: Apa pesan Datuk Seri kepada pengundi?

J: Dengan kedudukan yang ada pada hari ini, sudah tentu kita memerlukan mandat besar daripada rakyat untuk membolehkan kita menjalankan dasar dan melaksanakan dengan lebih efektif untuk bergerak dengan lebih mantap lagi. Saya menyeru kepada semua rakyat, dengan komposisi dan kepelbagaian yang ada saya sebutkan kita perlu gabungkan pelbagai latar belakang etnik.

Sumber : BH Online



Related Posts:

  • Dasar Transformasi Perkhidmatan Awam Bukti Kerajaan Utamakan Rakyat - Najib YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dasar Transformasi Perkhidmatan Awam (TPA) adalah bukti kerajaan sentiasa meletakkan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai keutamaan. Perdana menteri berkata dasar… Read More
  • ECRL Projek Berteraskan Rakyat - PM Najib YAB Datuk Seri Najib Razak optimis projek mega Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dapat disiapkan pada 2024. Perdana Menteri berkata, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan Chinese Communications Construction Company Ltd berupaya … Read More
  • Pindaan POCA Lebih Efektif Banteras Jenayah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) telah ditambah baik melalui beberapa pindaan supaya lebih efektif membanteras jenayah terutama jenayah terancang dan jenayah sindiket yang menggunakan kekerasan dan keganasan serta bersesuaian… Read More
  • Buku POCA Nukilan TPM Zahid Dilancarkan Buku 'POCA' - Nafas Baharu Banteras Jenayah' hasil tulisan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilancarkan hari ini yang akan menjadi bahan rujukan berautoriti mengenai Akta Pencegahan Jenayah (… Read More
  • BR1M Peringkat Ketiga Dibayar Mulai Esok PUTRAJAYA - Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia peringkat ketiga, yang juga pembayaran terakhir BR1M 2017, akan dibuat mulai esok (16 Ogos) bersempena sambutan Aidiladha yang dijangka pada 1 Sept ini. Bagi permohonan yang… Read More