PUTRAJAYA - Istana Kehakiman di sini hari ini menjadi tumpuan wakil media tempatan dan antarabangsa bagi prosiding pertama Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an.
Kehadiran puluhan wakil media itu seawal 8 pagi menyebabkan orang ramai yang berurusan di Istana Kehakiman hari ini tertanya-tanya apakah kes menarik yang mendapat liputan begitu meluas hari ini.
Ramai wakil media kehampaan kerana sukar untuk merakamkan gambar dan visual anggota suruhanjaya itu kerana mereka menggunakan laluan lain dari kawasan media berkumpul untuk ke bilik bicara.
Suruhanjaya dengan enam keanggotaan itu dipengerusikan Pengerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Turut menganggotai suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudah cara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon, Ahli Institut Akauntan Malaysia K. Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail yang juga Setiausaha Suruhanjaya Siasatan itu.
Suruhanjaya Siasatan kes kerugian urus niaga mata wang asing itu ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].
Penubuhan dan keanggotaannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, peguam pemerhati bagi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan peguam R.Sivarasa yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1990-an), ketika ditemui media berkata mereka belum mendapat maklumat mengenai hasrat Suruhanjaya Siasatan itu untuk memanggil Dr Mahathir atau Anwar walaupun kedua-dua mereka sudah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama.- Bernama