Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 6 intensif baru khusus untuk kebajikan anggota tentera dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika pertemuan di Perhimpunan Veteran ATM 2017.
Perdana Menteri berkata, Bantuan Bakti Negara (BBN) itu untuk manfaat 66,000 veteran ATM tidak berpencen yang menerima RM1,200 setiap tahun.
"Syarat layak BBN adalah berdasarkan kriteria penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), iaitu mereka yang tergolong dalam kelompok pendapatan terendah bawah 40 peratus (B40).

"Seramai 10,959 veteran ATM tidak berpencen yang berumur 60 tahun ke atas akan diberi insentif RM600 setiap tahun.
"Inilah sumbangan dan cara menghargai pejuang pertiwi sempena Hari Pahlawan yang disambut di seluruh negara hari ini," katanya menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Veteran ATM 2017, di sini.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Turut sama dalam perhimpunan raksasa itu adalah Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Datuk Seri Affendi Buang dan Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.
Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan penambahbaikan Skim Anuiti Veteran (SAVe) untuk membolehkan mana-mana anggota ATM mengambil keputusan bagi bersara awal.
"Oleh itu, anggota ATM yang berhenti daripada perkhidmatan lebih awal juga layak menerima pencen bulanan menerusi caruman hasil pelaburan kerajaan.
"Anggota yang diberhentikan awal akibat kecederaan ketika menjalankan tugas akan menerima kenaikan pencen 300 hingga 800 peratus, iaitu bersamaan nilai RM500 hingga RM2,000.
"Kerajaan juga akan menambah Insentif Veteran Kelainan Upaya sebanyak RM500 setahun, menjadikan jumlah keseluruhan RM1,000 daripada dana kutipan Tabung Pahlawan," katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan turut bersetuju menambah kuota haji bagi veteran ATM daripada 100 kepada 400 tempat untuk tahun ini.
Bagi menghargai jasa pejuang pertiwi, beliau berkata, sumbangan kerajaan kepada Tabung Pahlawan tahun ini adalah RM5 juta, sekali gus melakar rekod kutipan tertinggi sejak dana itu dilancarkan.