Wednesday, 5 October 2016

UMNO Rakam Takziah Tokoh Melayu Terbilang 2016, Aziz Tapa Meninggal Dunia

Image result for tan sri datuk wira hj abdul aziz tapa
KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan semua ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO bersama dengan seluruh ahli UMNO mengucapkan takziah ke atas ahli keluarga dan sanak saudara penerima Tokoh Melayu Terbilang 2016, Tan Sri Abdul Aziz Tapa atas kembalinya ke rahmatullah pagi ini.
Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Tapa, 93, yang dinobatkan sebagai penerima Tokoh Melayu Terbilang sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-70 Mei lalu telah meninggal dunia di Hospital Putra.
Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Rim, Jasin, Melaka pada 13 Jun 1923 telah menjadi ahli UMNO sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946 lagi dan aktif dalam memartabatkan budaya bangsa khususnya dalam mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Justeru, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah ke atas Allahyarham dan semoga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman – Al-Fatihah.
Latar belakang Allahyarham Tan Sri Aziz Tapa
Beliau dilahirkan di Kampung Rim, Jasin, Melaka pada 13 Jun 1923 dengan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jasin, kemudiannya Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim dan Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras.
Memulakan kerjaya sebagai askar sukarela yang dilatih di dalam Pasukan Tentera Sukarela Persekutuan Tanah Melayu dan guru, bapa kepada sembilan cahayamata ini mendapat sokongan padu daripada isterinya Maznah Lasim, juga seorang pendidik dalam perjuangannya.
Tokoh Guru Kebangsaan ini telah diberi kepercayaan menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka dari tahun 1978 hingga 1982, di samping pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Undangan Negeri Nyalas dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka serta Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka.
Sumbangan beliau tidak terhad kepada politik, malahan turut aktif dalam mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan melalui Persatuan Persuratan dan Kebudayaan khususnya Ikatan Persuratan Melayu yang telah dianggotainya sejak 1952 lagi.
Usaha tokoh ini di dalam memartabatkan budaya bangsa turut diberi pengiktirafan sebagai pakar rujuk Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, Timbalan Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka, Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Timbalan Pengerusi Majlis Amanah Balai Seni Lukis Negara serta Penasihat projek cahaya dan bunyi Jawatankuasa Perbadanan Muzium Melaka.
Tokoh Budaya Negeri Melaka 2003 ini turut dikurniakan pingat kebesaran, antaranya seperti Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri, Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira dan Darjah Kurnia Setia Jasa yang membawa gelaran Datuk Kesatria Mangku Negara.
Walaupun sudah berusia 93 tahun beliau tetap aktif menyumbangkan pemikirannya serta menjadi rujukan di dalam memperkasa dan memartabatkan budaya bangsa sebagai warisan negara. -mediaumno

Related Posts: