Parti PPBM tidak akan bergabung dalam tempoh yang lama dengan Pakatan Harapan memandangkan masih tidak dapat mencapai konsensus berhubung status bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata penganalisis politik, Professor Dr Shamsul Adabi Mamat, ia berdasarkan kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara jelas menyatakan pihaknya belum tentu akan membebaskan Anwar daripada penjara meskipun pembangkang mentadbir negara.
Meskipun pembebasan Anwar adalah agenda utama PKR, namun Dr Mahathir tidak mengendahkan perkara tersebut, malah terus konsisten menyatakan ia bukan perkara utama yang diperjuangkan sekaligus bertentangan dengan matlamat perjuangan PKR.
“Kenyataan Tun Mahathir itu sahaja sudah menampakkan yang dia mempunyai kepentingan sendiri, beliau hanya menggunakan pengaruh sokongan Anwar untuk mencapai matlamatnya, tapi bukan untuk membantu PKR untuk melepaskan Anwar daripada penjara. Itu hakikat yang kita perlu terima.
“Berkenaan salam Tun Mahathir dengan Anwar itu pula, ia hanyalah demi kepentingan politik, Tun Mahathir ada agenda dia sendiri dan dia tidak akan sesekali menarik balik kenyataan beliau terhadap Anwar sebagai seorang peliwat kerana bimbang Tun Mahathir pula yang akan dituduh sebagai penipu.
“Oleh sebab itu saya katakan, PRIBUMI memang tidak akan bergabung dalam tempoh yang lama dengan Pakatan Harapan, kalau untuk mengalahkan UMNO BN (Barisan Nasional), ya, mereka akan duduk semeja,”
Terdahulu Tun Mahathir pada semalam menyatakan yang pihaknya akan membuat pertimbangan sama ada perlu membebaskan Anwar daripada penjara atau tidak sebaik sahaja menjadi pentadbir negara.
Bagaimanapun, anak perempuan Anwar, Nurul Nuha mendesak supaya Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka atas tuduhan liwat yang dibuatnya pada 1998 lalu sehingga dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.
Namun demikian, Shamsul menyatakan ia adalah tindakan yang sia-sia.
“Jangan mimpi Tun Mahathir akan memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut, lagipun ia adalah keputusan mahkamah, bukan Tun Mahathir, itu harus diingat,” ujarnya.