"Sebab itu saya percaya dengan adanya parti-parti ini, (dengan) adanya perpecahan, (dan) pilihan raya (pun) lambat lagi, (selagi) Allah SWT beri kita ruang untuk kita bermuhasabah dan berikhtiar, saya yakin UMNO akan bertambah kuat,"katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penjelasan isu-isu semasa anjuran Biro Penerangan UMNO Bahagian Kuala Pilah di sini. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Datuk Ismail Lasim.
Ditanya pandangannya mengenai penubuhan parti baharu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan hasrat bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilaporkan berhasrat mengambil alih sebuah parti politik di Sabah untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Annuar mengalu-alukan perkara itu.
"Kita harus mengalu-alukan, jangan kita meremehkan usaha dia... kita juga yang kata siapa yang tak setuju UMNO, keluar daripada UMNO (dan) kita suruh ikut peraturan dan dengan cara itu nanti dia dapat masuk pilihan raya mengikut peraturan," katanya.
"Jadi biarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin buka satu, Mohamad Sabu buka satu, Datuk Seri Shafie buka satu, lagi banyak lagi meriah. Keputusan dia terletak pada kebijaksanaan rakyat dan kejujuran kita bekerja kerana kita dinilai oleh rakyat dan Allah," kata Annuar.
Beliau berkata UMNO dan BN senantiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat dan bekerja dengan ikhlas.
"Kita buat dengan cara terbaik dan rakyat boleh tengok. Rakyat bukan tak faham, dia tahu kita ini kerajaan kadang ada buat salah, kadang kita tak cukup duit, kadang kita tersasul, rakyat faham...rakyat dapat melihat semua itu. Yang saya nampak selama mana kita bekerja ikhlas, rakyat akan menyambutnya dengan baik,"katanya.
Sementara itu, Annuar berkata kenyataan sesetengah pihak bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah ibu kepada segala pilihan raya adalah bagi mewujudkan gambaran kononnya pada pilihan raya kali ini, BN akan bertanding secara habis-habisan bagi memastikan kemenangan.
"Setiap pilihan raya selalunya adalah ibu kepada segala pilihan raya sepanjang masa. Pilihan raya lepas pun kita kata ibu kepada segala peperangan tetapi ada orang cuba nak menggambarkannya bahawasanya ini kalilah BN lawan betul-betul, jadi dia cuba nak gambarkan ini akan menjadi peperangan yang besar.
Bagi kita, setiap empat tahun, setelah kita dapat mandat rakyat, kita jalankan tugas dan kemudian serah balik kepada rakyat. Ia adalah ibu kepada peperangan sepanjang masa. Kita tak nak memperkecilkan sesiapa, tak nak pandang remeh pada sesiapa, kita tak berada dalam keadaan selesa dan kita tak mengambil mudah rakyat," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata BN yang memperolehi mandat rakyat akan sentiasa memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan dan ini sekali gus membezakan parti itu dengan sesetengah parti politik lain yang lebih gemar berpolitik dan mengkritik.
Program penerangan itu dihadiri kira-kira 600 orang.- Bernama