Saturday, 13 August 2016

#Program Doa Untuk Malaysia Dihadiri Ribuan Umat Islam.



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyertai lebih 10,000 umat Islam pelbagai peringkat umur mendoakan kesejahteraan negara di majlis ‘Doa Untuk Malaysia’ di Dataran Merdeka, malam ini.
Program tahun ketiga berkonsepkan keagamaan yang berlangsung lebih empat jam bermula 7 petang itu diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016.
Ia wadah menyatupadukan rakyat dan menyemarakkan sambutan kemerdekaan dengan pengisian keagamaan, patriotik, cintakan agama, bangsa dan negara selain mendoakan kesejahteraan serta keamanan negara daripada sebarang anasir yang boleh mengganggu gugat kerukunan rakyat berbilang bangsa dan agama.
Acara dimulai dengan solat Maghrib berjemaah diikuti solat Isyak dan solat hajat yang diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri sebelum diakhiri bacaan selawat dipimpin pendakwah antarabangsa dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf.
Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM, Tuan Asmawi Tuan Umar, turut memimpin bacaan doa untuk Malaysia. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Ashraf Wajdi Dusuki, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Program bersepadu berkenaan dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama JASA, Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). RTM dan Nasional FM menjadi penyiar rasmi program itu.

Related Posts: