CORAK KEPIMPINAN yang di bawa oleh Datuk Seri Najib Razak di negara kita bukan sahaja diterima majoriti masyarakat sendiri, malah turut mendapat penghargaan dan pujian dari tokoh antarabangsa.
Terbaru, Perdana Menteri keenam itu diyakini mampu memimpin Malaysia menjadi salah sebuah negara terbaik di dunia tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Perdana Menteri harus sentiasa tidak lari dari suruhan dan pegangan ajaran al-Quran dan sunnah, ujar Prof. Dr.Amin Mohammad Sallam Al-Manasyeh.
“Saya berpendapat jika Allah memberi beliau (Najib) masa, beliau akan terus memajukan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara terbaik di dunia. Itu yang saya fikir tentang beliau,” kata bekas Mufti Jordan itu dalam sebuah kenyataan baru-baru ini.
Beliau pernah bergelar sebagai Mufti Jordan selama 23 tahun dan turut pernah dilantik sebagai Mufti di Philadelphia dan New York di Amerika Syarikat.
Prof. Dr. Amin juga merupakan Ketua Lujnah Pembanterasan Fahaman Syiah Jordan, mantan Imam Talaqqi Masjid Nabawi dan profesor di Universiti Mu’tah dan Universiti Jordan.
Dr. Amin yang memiliki tiga doktor falsafah dan tiga ijazah sarjana merupakan pakar al-Quran dan hadis serta menjadi penasihat syariah sebuah syarikat milik Malaysia, Dubaiz Islamic Concept Sdn. Bhd.
Semasa berada di Malaysia baru-baru ini, beliau sempat bersua muka dengan Perdana Menteri dan lantas menyifatkan Najib sebagai seorang mukmin.
Katanya, pada pertemuan itu, Najib dan beliau sempat berbincang pelbagai isu selain turut bersama-sama menunaikan solat hajat untuk memelihara rakyat dan kesejahteraan Malaysia.
“Kami solat hajat bersama, saya harap Allah terima doa saya. Kita cuba, Allah yang memperkenan, kita serahkan segala-galanya kepada Allah,” kata Prof. Dr. Amin lagi.
Beliau bukan sahaja memuji Najib dengan ikhlas, malah turut menyukai suasana negara kita. Katanya, Malaysia sebuah negara yang berkembang maju dan lebih moden daripada kebanyakan negara di Timur Tengah termasuk Jordan.
Disamping itu, Prof. Dr. Amin juga melihat rakyat Malaysia adalah antara yang kuat bekerja dan mempunyai kehidupan yang lebih baik berbanding di negara lain.
“Saya suka Malaysia, suka orang-orang di negara ini. Mereka baik dan cukup bermurah hati,” ujarnya lagi.