
Dalam kemeriahan kita kini menghampiri seminggu menyambut Syawal, ada juga sedikit rasa rindu kepada Ramadan yang telah berlalu. Banyak ibadah yang hanya boleh kita jumpa di bulan penuh keberkatan ini seperti tarawih dan sebagainya.
Dalam bulan Ramadan juga, terdapat banyak aktiviti-aktiviti unik yang mampu merapatkan ukhuwah sesama kita. Sepanjang sebulan berpuasa, saya berpeluang melakukan jelajah bertemu ramai dan mencuba keunikan budaya dan juadah tempatan di bazar-bazar Ramadan seluruh Malaysia, selain mengimarahkan majlis agama dan menyertai moreh di surau-surau dan masjid-masjid serata negara.
Insya-Allah, sama-sama kita berdoa dipanjangkan umur semoga bertemu Ramadan di tahun hadapan, Insya-Allah.
Minggu ini, tentu ramai yang telah mula kembali ke pejabat untuk bekerja setelah beraya bersama keluarga dan sanak-saudara pada minggu lalu. Ada juga yang mungkin masih bercuti di kampung.
Walau di mana anda berada, saya harap raya ini anda telah berjaya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan mereka yang tersayang. Sekiranya belum, kita beraya selama sebulan, ada masa lagi yang boleh anda luangkan untuk kunjung-mengunjungi dan mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama kita.
Saya percaya dalam minggu-minggu mendatang ini juga, akan ada banyak jemputan untuk rumah terbuka dan sebagainya. Penuhilah jemputan itu sekiranya berkesempatan, kerana tradisi rumah terbuka ini adalah sebahagian daripada cara kita memeriahkan sambutan Aidilfitri, selain memastikan ikatan silaturrahim antara kita terus subur dan mekar. Pada masa sama, makanlah segala lemang, pulut, ketupat dan rendang secara bersederhana, agar kesihatan kita terpelihara, Insya-Allah.
Suka saya kongsikan beberapa keping gambar kemeriahan sambutan hari raya dan rumah terbuka saya bersama jemaah menteri di Sri Perdana pada 1 Syawal yang lalu. Begitu meriah dengan ramai yang hadir dari pelbagai kaum dan agama, betul-betul 1Malaysia.



Alhamdulillah, Syawal kali ini dapat kita sambut secara meriah di dalam suasana harmoni, tanpa sengketa dan perbalahan. Ini sebahagian daripada rahmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita saban tahun, dan sama-samalah kita semua memainkan peranan untuk memastikan keharmonian ini terpelihara buat selamanya, Insya-Allah.
Selamat Hari Raya AidilFitri - Dato Sri Hj Mohd Najib Bin Tun Hj Abdul Razak
-NajibRazak.com
-NajibRazak.com