Saturday 23 April 2016

Ingati Dan Contohi Nilai Kepimpinan Tun Ghafar Baba - Najib



Anggota UMNO perlu mengingati dan mencontohi nilai ketaatan, kesetiaan dan ketulenan kepimpinan bekas timbalan perdana menteri Tun Abdul Ghafar Baba, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden UMNO itu berkata Abdul Ghafar menunjukkan ketaatan kepada pemimpin, kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi kepada UMNO dan ketulenan manifestasi prinsip perjuangan UMNO.

"Saya cuba nak tanya apakah sebenarnya bila kita adakan majlis seperti ini, apakah signifikannya, signifikannya dua (iaitu) satu kita peringati tokoh negarawan, politik, pemimpin kita sanjung tinggi dan kedua, kita cuba untuk peringati nilai-nilai kepemimpinannya.

"Saya tanya pada diri saya apa nilai Encik Ghafar kepada kita terutama kepada kita generasi ini, saya simpulkan satu ketaatan, kedua kesetiaan, ketiga ketulenan ... itulah Encik Ghafar kepada UMNO dan kita semua," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Bacaan Tahlil dan Doa Sempena 10 Tahun Pemergian Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit, di sini, Sabtu.

Tun Abdul Ghafar yang merupakan anak kelahiran Melaka menjadi timbalan perdana menteri dari 10 Mei 1986 hingga 15 Okt 1993 dan juga Ketua Menteri Melaka dari 1 Jun 1959 hingga 5 Okt 1967.

Hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan anak Abdul Ghafar iaitu Datuk Mohd Tamrin.

Najib berkata semua anggota UMNO juga perlu mengingati pesanan pemimpin terdahulu yang mahukan generasi sekarang memikul tanggungjawab mempertahankan parti keramat orang Melayu itu dan bukannya meninggalkan atau mengkhianati parti.

"Mereka (pemimpin terdahulu) walaupun (sudah) tidak lagi bersama kita, mereka berkehendakkan kita mempertahan UMNO, menegakkan UMNO ...kerana selagi ada UMNO perjuangan boleh diteruskan, tanpa UMNO berkuburlah segala-galanya, macam Encik Ghafar kata 'tiada UMNO, tiada barisan hancur segala-galanya'," katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat perbezaan dalam kalangan anggota UMNO, jalan permuafakatan mesti dicari yang akhirnya dapat bercantum dan menyatukan UMNO di dalam satu barisan.

Najib berkata Abdul Ghafar merupakan seorang tokoh yang menjadi simbol kepada perjuangan UMNO sehingga ke hari ini apabila langsung tidak memandang jawatan sebagai perkara penting dalam perjuangannya.

"Encik Ghafar tidak pernah marah, tidak pernah merajuk (jika) tidak dilantik timbalan perdana menteri pun, itu bukan wadah perjuangan beliau ... beliau kata jawatan tidak penting, UMNOlah segala-galanya, jagalah UMNO," katanya.

Beliau berkata Abdul Ghafar amat cemerlang dalam politik akar umbi dan sentiasa berdampingan serta mengetahui isu-isu berkaitan rakyat atau dalam istilah bahasa Inggerisnya 'man of the people'.

"Encik Ghafar kalau mesyuarat lama-lama tak boleh, saya masih ingat lagi bila beliau mempengerusikan mesyuarat kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri kurang satu jam sudah habis (mesyuarat) tetapi Encik Ghafar lebih kepada 'man of the people'," katanya.

Najib berkata beliau memilih untuk hadir pada majlis itu bukan sebagai Perdana Menteri atau Presiden UMNO, sebaliknya hadir kerana Abdul Ghafar.

"Allahyarham tidak boleh dipisahkan dengan perjuangan UMNO, tidak boleh dipisahkan dengan keluarga Allahyarham Tun Abdul Razak (bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, juga ayahanda Najib) dan saya sendiri secara peribadi," katanya.

Sementara itu, beliau mahu Memorial Tun Abdul Ghafar Baba dibina semula di tapak sama bagi memperingati dan menjadikan perjuangan Abdul Ghafar sebagai panduan generasi masa kini, dan bersedia memberikan peruntukan untuk melaksanakan projek itu.


- BERNAMA