Thursday, 9 June 2016

PRK P.067 KUALA KANGSAR: Mesej Mastura Tetap Sampai Kepada Pengundi Walau Tidak Berkempen

Post Pic

KUALA KANGSAR: Walaupun calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Yazid tiada dalam setiap kempen parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, 'kehadirannya' tetap dirasakan menerusi kelibat keempat-empat anak lelaki beliau.
 
Tinjauan rambang Antarapos mendapati rata-rata penduduk melahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada balu Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad itu.
 
Emilia Mohd Rayani, 45, yang juga anak jati tempatan berkata, walaupun Mastura tidak muncul secara fizikal, keperibadiannya yang ramah sudah cukup membuatkan beliau berjaya 'menjuarai' hati rakyat Kuala Kangsar.
 
"Walaupun beliau tak ada, tetapi beliau wakilkan anak-anaknya. Anak-anaknya pun turun. Sekarang ini pun kita gunakan media massa, jadi proses komunikasi melalui media massa," katanya.
 
Malah ujar wanita ini lagi, mesej kempen Mastura tetap sampai dan diterima rakyat daerah ini.
 
"Kebanyakan orang senang dan mengenalinya, jadi mesej tetap sampai. Masyarakat terima, Alhamdulillah. Beliau tinggal pun lama di sini, jadi orang kenal," katanya lagi.
 
Turut senada, seorang surirumah yang juga anggota Jalinan Rakyat (JR), Masaufi Kurnia berkata, mesej Mastura tetap akan sampai kepada pengundi melalui gerak kerja jentera serta ahli parti. 
 
"Saya rasa mesej Datin Mastura memang sampai kepada pengundi sebab beliau jemput kami datang berkumpulan, seperti Jalinan Rakyat (JR), dan JR selepas itu akan memaklumkan kepada pengundi-pengundi. 
 
"Kami berkumpulan datang ke rumah beliau, beliau beritahu mesej yang mahu meneruskan legasi arwah Datuk Wan," ujar wanita berusia 63 tahun itu.
Dalam pada itu, seorang Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar, Maslia Abdul Rahman berkata, jentera parti akan bekerja keras agar mesej serta amanat Mastura tetap sampai kepada pengundi biarpun calon tersebut tidak muncul secara fizikal dalam setiap kempen.
 
Namun tambahnya, kepribadian Mastura yang terkenal dengan sikap ramah dan rendah diri melancarkan lagi tugas kempen kepada rakyat.
 
"Bila anak-anaknya turun, itu memang memberi semangat kepada kami untuk meneruskan perjuangan. Insya-Allah kami akan pastikan BN akan menang di Kuala Kangsar," katanya. 
 
Mastura, 55, tidak dapat menyertai kempen PRK kerana masih berada dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana yang ditetapkan hukum Islam bila seseorang wanita kematian suami. 
 
BN akan menggunakan kaedah multimedia termasuk video konfrensi sebagai penghubung antara jentera dengan calon BN itu sepanjang kempen PRK Parlimen Kuala Kangsar.
 
Dalam pada itu, keempat-empat anak lelaki Mastura turut turun padang berkempen sebagai mewakili ibu mereka.- AP